KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad tidak pernah mengisytiharkan pendapatan melebihi RM1 juta bagi tahun taksiran 2013 hingga 2018 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata maklumat itu diperoleh berdasarkan Borang BE Taksiran yang merupakan maklumat pendapatan individu melalui penggajian yang diterima Shahrir.

"Pendapatan yang diisytiharkan Tan Sri Shahrir pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191). Saya sahkan Tan Sri Shahrir tidak pernah mengisytiharkan sebarang pendapatan melebihi RM1juta bagi tahun-tahun taksiran 2013 sehingga 2018," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd 'Afif Ali pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada LHDN.

Saksi pendakwaan ke-21 itu juga mengesahkan bahawa Shahrir telah menggunakan 'username' dan 'password' miliknya dan telah melaporkan pengisytiharan cukai bagi tahun-tahun tersebut secara e-Filing di laman sesawang LHDN.

Tuan Zulkfli berkata berdasarkan peruntukan Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53) dan kaedah-kaedah, apa-apa perolehan atau keuntungan lain yang diterima selain daripada penggajian, mana-mana individu wajib melaporkan perolehan tersebut kepada LHDN.

Mohd 'Afif: Sekiranya seseorang itu menerima wang RM1 juta sebagai suatu sumbangan untuk dirinya atau kepada sesuatu pertubuhan dan sumbangan tersebut dimasukkan ke akaunnya peribadinya, adakah ia perlu diisytiharkan kepada LHDN?

"Dari segi penaksiran, sekiranya jumlah itu (sumbangan) diterima oleh individu, tidak kira lah untuk apa, sewajarnya ia melaporkan kepada LHDN. Individu itu perlu melaporkannya dahulu kepada LHDN sebelum pihak LHDN tentukan sama ada ia dikenakan cukai ataupun tidak," jawab saksi itu.

Semasa ditanya sama ada individu itu boleh mengambil tindakan sendiri dengan tidak mengisytiharkannya (RM1 juta) sebab menganggapnya sebagai sumbangan atau pelaburan, saksi menjawab: "Tidak boleh".

Mohd 'Afif: Berkaitan kes kita pada hari ini, sekiranya Tan Sri Shahrir menerima cek RM1 juta dan wang itu dimasukkan dalam akaun peribadinya, adakah beliau kena laporkan kepada LHDN wang tersebut pada tahun 2013?

Tuan Zulkfli: Kena laporkan pada tahun diterima iaitu 2013.

Sementara itu, ditanya peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir sama ada saksi itu atau LHDN tidak menjalankan siasatan berhubung kemasukan RM1 juta ke akaun Shahrir, saksi itu menjawab tidak pasti kerana tiada semakan dibuat mengenainya.

Tuan Zulkfli berkata semasa perjumpaan dengan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pegawai tersebut hanya bertanyakan sama ada Shahrir melaporkan RM1 juta kepada LHDN tanpa membawa sebarang dokumen termasuk penyata akaun Shahrir.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

-- BERNAMA