Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mempelawa lebih ramai wanita menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti yang dijadual Oktober ini.

Shahrizat, yang kini Ketua Wanita Umno, berkata meskipun beliau berhasrat mempertahankan jawatan itu tetapi pada masa sama mengajak lebih ramai calon masuk ke 'gelanggang' kerana menyifatkannya satu amalan yang sihat.

"Sebelum jadi wakil rakyat saya pengamal undang-undang dan pernah jadi majistret maka saya boleh terima serta hayati amalan demokrasi dalam parti.

"Saya alu-alukan sesiapa sahaja, seramai mana untuk datang tawar diri...ia tidak jadi masalah kepada saya kerana nanti wanita di peringkat akar umbi yang akan buat pilihan," katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Sentuhan Medik Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini.

Beliau ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN.

Ditanya mengenai keinginan Datuk Azalina Othman Said untuk bertanding jawatan Ketua Wanita, Shahrizat mengingatkan bekas Ketua Puteri itu supaya tidak membawa mesej perpecahan dan perbalahan dalam parti.

"Saya gembira bila ada Azalina akan bertanding tapi jangan sampai timbul perpecahan.

"Saya nak minta Azalina atau sesiapa nak kempen, kempen untuk semua, jangan ada pemisahan, jangan ada perpecahan di antara kumpulan Puteri dan bekas Puteri dan Wanita Umno, saya rasa tak cantik," katanya.