Shamsul Iskandar dakwa difitnah, buat laporan polis terhadap Albert Tei

Shamsul Iskandar buat laporan polis terhadap Albert Tei atas dakwaan fitnah dan konspirasi jahat cemar imej PM serta cuba jatuhkan kerajaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa memfitnah serta melakukan konspirasi jahat dengan tujuan mencemarkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak demokratik.
Shamsul, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, berkata laporan itu dibuat di Gum-Gum, Sabah sekitar jam 5.05 petang ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sedang giat berjalan.
Menurut beliau, tuduhan Albert kononnya wujud arahan daripada Perdana Menteri untuk merakam perbualan beberapa ahli politik Sabah adalah satu pembohongan yang disengajakan.
“Tuduhan ini jelas satu fitnah dan konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri, lebih-lebih lagi ketika musim kempen. Ia usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik,” katanya, dalam kenyataan pada Rabu.
Shamsul menegaskan beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk mencetuskan kekeliruan, menjatuhkan kerajaan atau mencemar reputasi Perdana Menteri,” tegasnya.
SPRM sebelum ini mengesahkan akan memanggil Shamsul dan Albert untuk dirakam keterangan berhubung siasatan kes penerimaan wang berkaitan lesen perlombongan.
Shamsul meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada Selasa, dengan mendakwa wujud percubaan menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan MADANI.
Peletakan jawatan itu turut dikaitkan dengan pendedahan-pendedahan yang tular, termasuk dakwaan Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing bahawa beliau menyerahkan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan ia akan “dipulangkan” melalui beberapa ahli politik di Sabah.
Insiden itu turut diperhangatkan dengan penularan sekeping surat bertarikh 6 Mei 2024, yang didakwa ditandatangani salah seorang setiausaha politik Perdana Menteri, berhubung cadangan beberapa kontraktor bagi sebuah projek hospital di Muar sebelum kesahihannya turut dipertikai.
Polis dan SPRM kini dijangka meneruskan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
Terdahulu, PM Anwar menerusi kenyataan pada Rabu berkata, beliau telah menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan beliau Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas khidmat dan sumbangan yang dicurahkan oleh Shamsul Iskandar sepanjang berkhidmat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


