[TERKINI] Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah terima rasuah RM176,829.03 berkaitan lesen mineral Sabah
![[TERKINI] Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah terima rasuah RM176,829.03 berkaitan lesen mineral Sabah [TERKINI] Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah terima rasuah RM176,829.03 berkaitan lesen mineral Sabah](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/71764814435_shamsuliskandar.jpg)
Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral sabah.
Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh, Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, 51,didakwa telah secara rasuah bersetuju menerima satu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM140,000 daripada seorang ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing, bagi membantu syarikat-syarikatnya mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di negeri Sabah.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Disember 2023, 29 dan 31 Januari 2024, di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagi pertuduhan kedua dan keempat, Shamsul didakwa telah secara rasuah memperoleh satu suapan, iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM36,829.03 daripada individu yang sama bagi tujuan yang sama.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala bagi pertuduhan keempat dilakukan pada 26 Februari 2024 dan 5 Mac 2024, Jalan P14a 1/1, Presint 14, di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Bekas Setiausaha Politik Kanan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara minima dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua orang penjamin, pasport diserahkan kepada pihak mahkamah, tertuduh perlu menyerahkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta tidak mengacau saksi.
Peguam Joshua Tay yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin dikenakan sebanyak RM50,000 atas alasan anak guamnya mempunyai sakit serius dan akan memberikan kerjasama sepanjang perbicaraan.
Hakim Suzana Hussin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM150,000 bersama tiga syarat tambahan yang dimohon oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari 2026 bagi sebutan semula kes.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


