Setelah melalui penerbangan sekitar dua jam dari Surabaya, jenazah Khairunisa Haidar Fauzi, 22, pramugari AirAsia QZ8501, tiba di kediamannya di Jalan Pipa, Kelurahan Pipa Reja, Kemuning, Palembang pada Jumaat.
Tanggal tarikh keramat 2 Januari 2015, pukul 7:30 malam waktu tempatan, keluarga Allahyarham seperti sudah tidak dapat menahan sebak dan rindu menyaksikan keranda keluar dari ambulan yang membawa jenazah.
Ahli keluarga dan teman-teman tidak dapat menahan kesedihan ketika pengebumian Allahyarham Khairunnisa. -Gambar: Wike Widhananda Mustika
Kepulangan jenazah di rumah Allahyarham sudah lama ditunggu pihak keluarga setelah jasadnya ditemui di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Pada Rabu, 31 Januari lalu
Paling menyentuh hati, keluarga seperti berebut untuk memeluk keranda Allahyarham.
Allahyarham Nisa merupakan puteri kepada Rohana dan Haidar Fauzi.
Titisan air mata keluarganya tidak mampu diucap dengan kata-kata, hanya mata menjadi saksi.
Turut hadir pada pengebumian itu pastinya teman paling rapat ketika sekolah iaitu Widya Rahmayuni Sipon dan teman sekuliah, Wike Widhananda Mustika yang menceritakan suasana hening ketika pengebumian kepada Astro AWANI.
Sudah seperti keluarga, Wike diberi izin oleh abang kepada Allahyarham iaitu Muhammad Ihsan atau Ichan untuk ke depan supaya berkesempatan melihat sahabatnya untuk kali terakhir.
Jenazah selamat dikebumikan pada jam 8.30 malam waktu tempatan. - Gambar: Wike Widhananda Mustika
Tepat jam 8:30 malam waktu tempatan, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tapak perkuburan keluarga di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Bukit Kecil, Palembang.
Wike turut mendoakan kesejahteraan teman rapatnya dengan mulut yang sedikit terbuka.
Paling mencuri tumpuan, bait-bait kata dari Widya kepada Allahyarham Nisa.
"Semoga Nisa tenang di rumah tuhan yang paling istimewa, amal ibadahnya diterima, dihapuskan segala dosanya, tetap menjadi wanita cantik penghuni syurga.
"Alhamdulillah aku sudah ikhlas, terus dan selalu mendoakan Nisa, aku juga telah bahagia kerana ratusan bahkan ribuan manusia telah menghantarkannya ke liang lahat serta mendoakannya.
"Siapa mampu menahan air mata jika ia dengan sendiri mahu menitis? Siapa kita yang mahu menolak takdir dari Maha Esa? Jika itu sudah ketentuannya, jika itu sudah tertulis, kami redha dengan ketentuan itu.
"Selamat jalan sahabat, dirimu tidak akan terganti sampai bila pun, mungkin saat ini kita agak sedikit lebih jauh jarak pandang tapi akan selalu dekat dihati, tunggu aku sampai kita akan ditemukan lagi ditempat yang paling indah. Selamat jalan Nisa. We love you, Nisa," begitulah keadaannya Widya.
Diceritakannya, zaman kuliah teman paling rapat kepada dua rakan ini adalah tiga rakannya yang lain iaitu Lisga, Yuni dan Fanny.
"Kami ke kuliah menggunakan bas, pastinya akan memilih untuk duduk di belakang sekali, tetapi jika tempat duduk itu tidak muat untuk kami berlima, kami sanggup turun dan menunggu bas yang lain," itu antara rutin harian mereka cerita Wike.
"Keinginan Nisa mahu menjadi pramugari terbit sejak dibangku sekolah lagi.
"Alhamdulillah, cita-cita mahu terbang ke awan biru terlaksana pada tahun 2013," begitu ucap Wike.
Allahyarham merupakan bekas pelajar jurusan undang-undang di Universiti Sriwija.
Nisa Fauzi, adalah pramugari AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah pada 28 Disember 2014 bersama 162 penumpang dan anak kapalnya.