Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) buat masa ini tidak akan memanggil Lembaga Tabung Haji (LTH) dalam siasatan terhadap urus niaga 1Malaysia Development Board (1MDB).

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini menyatakan bahawa pihaknya tidak akan berbuat demikian dalam jangka masa terdekat atas sebab kesibukan tugas, lapor portal berita FreeMalaysiaToday.

Bagaimanapun, berkenaan pembelian hartanah Tun Razak Exchange milik 1MDB seluas satu setengah ekar oleh LTH, Nur Jazlan berkata beliau sudahpun memberi perhatian ke atas isu tersebut.

Katanya, terdapat banyak peluang pelaburan lain bagi LTH dalam menguruskan wang caruman bakal haji.

“Pembelian tersebut melibatkan integriti jawatankuasa pelaburan LTH dan ahli lembaganya, ataupun tindakan itu merupakan arahan daripada pihak tertentu.

“Pembelian itu dibuat ke atas sebuah lokasi utama, namun adakah perjanjian dibuat berdasarkan nilai pasaran semasa?” ujar Nur Jazlan.

Beliau membayangkan bahawa nilai hartanah pada masa akan datang sangat subjektif dan tidak lagi menjadi kriteria sesuatu perjanjian pembelian.

Terdahulu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LTH Johan Abdullah dilapor telah mengesahkan pembelian hartanah berkenaan.

“Pembelian itu telah melalui semua proses dalaman. Ia adalah keputusan komersial dan patuh kepada pertimbangan risiko LTH,” ujar Johan.