Kawasan yang mencatat kualiti udara tidak sihat meningkat kepada tujuh kawasan setakat jam 4 petang hari ini, berbanding empat kawasan pagi tadi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain Sibu yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) 212, Pelabuhan Klang (146), Kuala Selangor (112) dan Tanjung Malim (101), tiga lagi kawasan ialah Sri Aman (107), Samarahan (107) dan Shah Alam (101).

Sebanyak 40 kawasan mencatat bacaan IPU sederhana antaranya Pasir Gudang (51), Alor Setar (58), Tanah Merah (78), Bandaraya Melaka (60), Seremban (76), Perai (53), Kota Kinabalu (57) dan Kuching (87).

Empat kawasan mencatatkan IPU baik iaitu Kota Tinggi (33), Langkawi (27) serta dua kawasan di Sabah iaitu Sandakan (44) dan Tawau (45).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).