MANJUNG: Polis melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung hari ini melupuskan 35,516 unit barang kes membabitkan kes perjudian, perlombongan mata wang digital bitcoin serta penyeludupan rokok dan minuman keras dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.95 juta.
Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari berkata pelupusan itu melibatkan 173 kertas siasatan bagi tempoh 2019 hingga 2026, terdiri daripada 125 kertas siasatan kes perjudian, 38 kes bitcoin serta 10 kes rokok dan minuman keras.
Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, barang kes berkaitan rokok dan minuman keras adalah yang tertinggi dari segi nilai, iaitu RM1.575 juta, diikuti barang kes bitcoin RM1.275 juta dan perjudian RM99,538.
“Pelupusan ini dilaksanakan selepas semua kertas siasatan selesai di peringkat pendakwaan dan menerima arahan untuk pelupusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Bitcoin, Kontraban dan Judi Peringkat IPD Manjung di sini hari ini.
Beliau berkata barang kes perjudian yang dilupuskan berjumlah 490 unit, termasuk telefon bimbit, pencetak mudah alih, mesin simulator, slip catatan angka loteri awam haram dan komputer riba dengan nilai kira-kira RM99,538.
Mohammad Azlin berkata bagi barang kes bitcoin pula, sebanyak 1,144 unit dilupuskan membabitkan bitcoin miner, bekalan kuasa, modem dan penghala Internet, komputer, mesin peniup udara, kipas penyedut haba serta wayar dan kabel penyambung elektrik yang dianggarkan bernilai RM1.275 juta.
“Pelupusan bagi kategori rokok dan minuman keras melibatkan 33,511 karton rokok pelbagai jenama, selain 323 botol dan 48 tin minuman keras, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.575 juta.
“Barang kes berkaitan mesin bitcoin dilupuskan melalui kaedah pengurusan buangan elektrik dan elektronik (e-sisa) manakala barang kes lain dilupuskan menggunakan jentera pengaut dan kaedah pembakaran mengikut prosedur serta SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu penting bagi mengelakkan lambakan barang kes di stor IPD Manjung, selain memastikan pengurusannya dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
-- BERNAMA