KUALA LUMPUR: Ringgit susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa ketika pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) yang bermula malam ini, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.0835/0880 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0735/0770, semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan kadar faedah utama AS dinaikkan pada minggu ini adalah pada 92.3 peratus sebagaimana dipaparkan oleh data CME FedWatch.
CME FedWatch merupakan mekanisme digunakan oleh Chicago Mercantile Exchange (CME Group) yang memaparkan jangkaan pasaran bagi keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) berkaitan kadar faedah.
“Susulan itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.25 peratus kepada 99.641 mata manakala hasil Kertas Perbendaharaan 10 tahun AS melepasi paras 5.00 peratus.
“Mata wang Asia lain seperti rupiah Indonesia, baht Thailand dan dolar Singapura juga rendah berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan susut berbanding euro kepada 4.7111/7163 daripada 4.7008/7049 semalam, rendah berbanding yen kepada 2.6366/6396 daripada 2.6355/6380 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.5037/5098 daripada 5.4931/4978
Selain itu, berbanding mata wang negara ASEAN, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2093/2131 daripada 3.2055/2085 dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.2620/2800 daripada 12.2445/2598.
Ringgit juga rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 230.7/231.1 daripada 230.5/230.8 semalam dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.48/6.49 sebelum ini.
-- BERNAMA