MASJID TANAH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadual bersidang pada 6 hingga 10 September depan.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sidang itu dapat dilaksanakan selepas mendapat izin daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut beliau, persidangan DUN Melaka akan bersidang selama lima hari  dan semua usul yang akan dibawa akan dimuktamadkan.

“Kita akan bangkitkan semua sekali (isu) yang memerlukan perhatian kerajaan untuk kebaikan dan keharmonian rakyat dalam menangani wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau di sini, pada Rabu.

[LAPOR LANGSUNG] 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM

Sebelum ini sidang DUN Melaka dijangka dilaksanakan pada pertengahan Julai sebelum kali terkahir bersidang pada awal Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, UMNO Melaka menyokong penuh keputusan dibuat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam.

“Semalam keputusan bersama telah dimuktamadkan dan Perhubungan UMNO Negeri menyokong keputusan dibuat pucuk pimpinan dalam menangani isu politik hari ini.

“Kedudukan Melaka juga masih sama memandangkan tiada mana-mana wakil rakyat yang bergabung dengan UMNO mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan ini maknanya kita (kerajaan) masih seperti dahulu,” tambahnya.

Untuk rekod, pada Mac tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri baharu.

Daripada 28 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) Melaka mempunyai 14 kerusi, Bersatu (2 kerusi), PH (11 kerusi) dan Bebas (1 kerusi).

Pada Selasa, MKT UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.




UMNO sebulat suara tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN

BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM