IPOH: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah)  Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dipilih sebagai Ahli Dewan Negara pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Khamis.

Usul pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak sebagai Ahli Dewan Negara itu dibawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan disokong Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja).

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan disebabkan Mujahid merupakan calon tunggal yang dikemukakan kepada Setiausaha DUN, maka Mujahid diumumkan sebagai Ahli Dewan Negara tanpa proses pengundian.

“Memandangkan sehingga tarikh akhir penamaan iaitu pada 15 Mei, hanya seorang sahaja yang telah dikemukakan kepada Setiausaha DUN, maka saya umumkan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dipilih sebagai Ahli Dewan Negara,” katanya pada persidangan DUN Perak, di sini pada Khamis.

Saarani, ketika mencadangkan nama Mujahid, berkata pemilihan Senator itu adalah bagi menggantikan Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian pada 2 November tahun lalu.

Difahamkan, Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian itu merupakan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang kini merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar sejurus memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Dalam pada itu pada persidangan DUN Perak kali ini sebanyak empat usul diluluskan iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023, RUU Perladangan Unggas (Pindaan) 2023, Meminda Perenggan (b) Fasal (1) Perkara (38) XXXVIII Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan Pemilihan Ahli Dewan Negara Malaysia.

Sidang DUN Perak berlangsung selama empat hari bermula Isnin dengan Sesi Soalan Lisan, pembentangan dan perbahasan usul-usul serta meluluskan usul berkenaan.

Seramai 58 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir sepanjang persidangan kecuali ADUN Kepayang, Nga Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana berada di Jepun.