LABUAN BAJO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Mesyuarat Berkaitan.

Pesawat membawa beliau tiba pada jam 3.45 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo dan kehadiran beliau disambut Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi.

Kehadiran Perdana Menteri turut disambut delegasi dari Malaysia yang sudah berada di Labuan Bajo, diketuai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Turut hadir pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.

Sepanjang tiga hari di sini, PM Anwar akan menghadiri beberapa program termasuk pertemuan dua hala dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; dan Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak.

Anwar turut akan mengambil bahagian dalam Perbincangan Suamuka antara Pemimpin-Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

Perdana Menteri juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT).

Selain itu, beliau akan mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia– Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, yang dijadualkan di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN.

Sidang kemuncak yang menghimpunkan pimpinan ASEAN itu dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 11 Mei 2023 dengan Indonesia menjadi tuan rumah bagi persidangan kali ini.

Penganjuran sidang kemuncak itu menyaksikan kira-kira seribu delegasi dari 11 buah negara anggota ASEAN hadir sepanjang tempoh tiga hari persidangan.