SIDANG Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY), atau MCY Summit, kembali lagi untuk penganjuran tahun ketujuh.

 
Tumpuan kali ini adalah kepada pengkomersialan hasil pembangunan, penyelidikan, dan inovasi (R&D&I) tempatan ke peringkat global, selaras perjalanan MCY memasuki fasa 3.0 yang mengangkat tema “MCY Goes Global.”

Kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Sidang Kemuncak MCY tahun ini memberi peluang besar kepada negara dalam menghadapi cabaran pengkomersialan teknologi dan inovasi, serta memfokuskan peningkatan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat global.

Beliau percaya bahawa inovasi adalah antara faktor penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia dan merangsang inovasi tempatan dalam pelbagai bidang, khususnya sains dan teknologi, adalah kritikal bagi mewujudkan peluang pekerjaan, mencipta nilai, dan meningkatkan daya saing negara.

“Inisiatif MCY telah dilaksanakan sejak tahun 2016 dan telah berjaya membantu mengkomersialkan lebih 400 produk, teknologi, dan perkhidmatan hasil R&D tempatan ke pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 produk, teknologi, perkhidmatan disasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa.”

Lih Kang hadir pada hari pertama persidangan tersebut, merasmikan pelancaran portal MCY BizMatching serta berbicara dalam sesi dialog antara kementerian bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada hari pertama persidangan tersebut.

MCY BizMatching, portal MCY yang baharu ini bertindak sebagai platform untuk menghubungkan penyelidik dengan rakan strategik dengan lebih kondusif dan efektif, menggunakan modul Business Matching untuk memberi peluang kepada penyelidik dan startups berkongsi maklumat, memperkenalkan teknologi dan produk kepada bakal pelabur dan rakan strategik.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membantu menyebar luaskan hasil inovasi MCY di pasaran antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran dan ekspo, antaranya Ekspo 2020 Dubai pada 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 yang melibatkan 10 syarikat MCY dan berjaya menjana pulangan pelaburan berjumlah RM100.5 juta.


MCY Summit 2023 tumpu lonjak hasil R&D&I tempatan ke peringkat global
Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menjadi rakan strategik atas peranannya sebagai pemecut pengkomersialan teknologi (technology commercialization accelerator, TCA).

Dengan sokongan MOSTI, selain menganjurkan Sidang Kemuncak MCY, MRANTI juga memimpin inisiatif baharu dinamakan Platform Pengkomersialan Teknologi Malaysia (MATCH) yang baru dilancarkan mempromosikan kelestarian pengkomersialan.

“MATCH adalah platform pengewangan inovasi yang menghubung serta menawarkan penyelesaian menang-menang kepada penyedia teknologi dan pencari teknologi, membuka pintu untuk mereka berhubung dan bertukar pengetahuan serta kepakaran bagi melonjak proses pengkomersialan teknologi di Malaysia.

“Platform ini bertindak sebagai pemangkin untuk mentransformasikan idea-idea hebat kepada penyelesaian berdaya maju secara komersial,” kata Ketua Pegawai Pembangunan Ekosistem MRANTI Safuan Zairi.

Sidang Kemuncak MCY 2023 berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Ogos di Connexion Nexus Bangsar South, dengan tema “Supercharge Your Way To Impact.”

Di samping persidangan yang dihadiri para pemain industri, pelbagai produk, teknologi dan perkhidmatan hasil R&D&I tempatan turut dipamerkan pada acara tersebut.