KUALA LUMPUR: Sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos ini bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang khas itu akan bermula pada pukul 10 pagi dan berlangsung sehingga selesai.
Jelas beliau, cadangan untuk mengadakan sidang khas berkenaan juga telah dipersetujui oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“11 Ogos, sesi khas Parlimen. Saya dah bincang, Speaker pun dah setuju, (bermula) 10 pagi hingga petang,” katanya ringkas kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pembentangan laporan RCI berkenaan di Parlimen.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Pelancaran Ibu Pejabat Baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan RCI bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan TH, dengan laporan suruhanjaya itu dijangka menjadi asas kepada perbahasan oleh Ahli Parlimen pada sidang khas berkenaan.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan laporan RCI berhubung siasatan terhadap isu pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 setebal 211 halaman, yang antara lain mengandungi syor penambahbaikan pengurusan dan operasi TH.
Setakat ini, sebanyak 75 peratus daripada 25 syor yang dikemukakan oleh RCI telah dilaksanakan, sekali gus meletakkan TH di landasan yang tepat dalam pengurusan deposit dan operasi haji.
Antara dapatan utama suruhanjaya itu ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.
RCI turut mengenal pasti kelemahan dalam aspek tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan peranan antara ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, serta kebimbangan terhadap pengaruh politik.