Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan diadakan pada 29 Disember depan bagi membentangkan satu pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2014).

Menurut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, pembentangan ini dibuat bagi membolehkan satu rang undang-undang persendirian dapat dibawa ke sidang Parlimen nanti.

Katanya pembentangan rang undang-undang persendirian ini hanya memerlukan sokongan dua pertiga majoriti Dewan Negeri dan ia akan diwartakan sebelum dapat dibawa ke Parlimen.

“Tarikh 29 Disember ini sebelum menjelang tahun baru 2015, kerajaan bersetuju adakan sidang khas Dewan Negeri bagi mengemukakan Rang Undang-Undang Pindaan Kanun Jenayah Syariah 1993 Pindaan 2014.

"Pindaan ini bagi melayakkan kita membawa private bill ke Parlimen,” kata Ahmad kepada pemberita di sidang media di sini petang tadi.

Menyentuh mengenai penentangan rakannya dalam Pakatan Rakyat, termasuk DAP dan PKR, mengenai hasrat kerajaan PAS Kelantan meneruskan pembentangan Kanun Jenayah Syariah 11 ini, beliau menjelaskan perkara ini tidak timbul kerana Kanun Jenayah Syariah 11 1993 telah diluluskan sejak dulu lagi sebelum wujudnya Pakatan.

Ditanya mengenai bantahan kaum Cina berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Ahmad berkata pelaksanaannya hanya melibatkan hukuman terhadap umat Islam.

"Ini perkara tidak berbangkit sebab kita menghormati agama lain dan undang-undang hudud ini tidak melibatkan orang bukan Islam, hanya Islam sahaja dan mereka (orang bukan Islam) layak memilih untuk diadili secara sivil atau hudud," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan ke Parlimen rang undang-undang persendirian mengenai hukum hudud bagi dilaksanakan di negeri ini.

Katanya, ia adalah hak kerajaan negeri Kelantan.

Sementara itu, pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed, ketika memberi reaksi berhubung Sidang Khas Dewan itu, berkata, kerajaan PAS perlu menunaikan janji untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah 11, tahun hadapan.

Katanya, 12 ADUN yang mewakili BN di Kelantan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hal berkenaan.

“Ini tanggungjawab kerana Menteri Besar sudah berjanji dalam Dewan Negeri bahawa 2015 nak lihat hukum hudud terlaksana di Kelantan, jadi kita akan adakan pertemuan di kalangan Ahli Dewan Negeri 12 orang mewakili BN,” kata Mustapha.

Katanya, UMNO dan Barisan Nasional Kelantan mengalu-alukan pembentangan tersebut.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dalam satu kenyataan sempena Konvensyen Kebangsaan DAP hari ini berkata majoriti rakyat Malaysia belum bersedia untuk menerima hudud.

Menurutnya, hudud tidak pernah dan tidak akan menjadi penyumbang undi PAS dengan melihat kepada bukti pengundian dalam beberapa pilihan raya terdahulu.

“PAS dan PKR menang kesemua lapan kerusi Parlimen dan 28 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu ketika Pilihanraya Umum ke-10 disebabkan tindak balas terhadap UMNO susulan penangkapan Anwar serta pergerakan Reformasi.

“Namun, walaupun setelah meluluskan enakmen hudud pada 2001, PAS dan PKR hanya berjaya mengekalkan satu daripada lapan kerusi dan empat daripada 28 kerusi DUN dalam Pilihanraya ke-11 pada tahun 2004,” katanya.

Tambahnya, PAS dan PKR menang empat daripada lapan kerusi Parlimen dan 15 daripada 32 kerusi DUN pada Pilihanraya Umum ke-13 di Terengganu tanpa berkempen untuk melaksanakan hudud di negeri itu.

“Walaupun PAS Terengganu memasukkan pelaksanaan hudud dalam Manisfesto Barisan Alternatif Terengganu sebelum Pilihanraya Umum 2008, PAS dan PKR tidak mendapat lebih jumlah undi dan kerusi di negeri itu.

“Ini petunjuk jelas bahawa pengundi di Terengganu meletakkan kepentingan lebih kepada isu lain selain pelaksanaan hudud,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamed dalam satu kenyataan berkata Lim Kit Siang tidak sepatutnya mencampuri urusan agama-agama lain terutamanya Agama Islam yang telah dijamin sebagai Agama Persekutuan dalam perlembagaan.

Menurutnya, PAS memberi sepenuh komitmen untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam mengikut kerangka sistem demokrasi, malah ia merupakan dasar parti yang perlu dilaksanakan selaras dengan perjuangan Islam.

“Kanun Jenayah Syariah kelantan adalah salah satu dasar PAS yang perlu dilaksanakan supaya ianya selari dengan perjuangan Islam sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Parti Islam SeMalaysia PAS.”

Beliau mendakwa lebih 70 peratus masyarakat Islam menyokong pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam ini selain berkata Kanun Jenayah Syariah Kelantan itu tidak akan dilaksanakan ke atas bukan Islam.

“Orang bukan Islam tidak perlu takut kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan kerana ianya hanya dilaksanakan ke atas orang Islam sahaja,” katanya.