Kedudukan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat dakwaan salah tadbir dan penyelewengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini jadi perdebatan politik baharu.

Selepas empat anggota PAC termasuk bekas pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed menyertai kabinet, pertikaian timbul apakah jawatankuasa itu tidak lagi berfungsi sehingga ada ganti anggota baharu atau apakah ia boleh diteruskan oleh anggota sedia ada.

Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw menegaskan pendengaran PAC terhadap 1MDB akan berjalan seperti yang dijadualkan, walaupun kehilangan empat ahlinya berikut rombakan Kabinet.

Seng Giaw berkata, PAC mempunyai korum yang mencukupi untuk melakukan pendengaran mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, Nur Jazlan silap dalam menyatakan perbicaraan harus diberhentikan sehingga ahli baru dilantik pada Oktober.

"Kita masih mempunyai sembilan orang ahli untuk menjalankan tanggungjawab kita. Ia tidak sesuai untuk menghentikan siasatan pada ketika ini," katanya seperti dilapor akhbar TheSun.

"Apabila pengerusi tidak ada, timbalannya akan mengambil alih. Jika kedua-duaya tidak ada, ahli boleh melantik seorang pengerusi baru pada ketika itu juga. Itu saja, kedaulatan undang-undangnya," Seng Giaw dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insider.

Semalam, Nur Jazlan dilaporkan berkata semua sesi pendengaran PAC akan dihentikan buat sementara waktu sehingga terdapat penggantian bagi ahli-ahli yang telah diberi jawatan dalam kerajaan.

Nur Jazlan berkata, prosiding PAC hanya akan diteruskan selepas barisan baharu jawatankuasa diumumkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada Oktober.

PAC sebelum ini mempunyai 13 ahli, terdiri daripada lapan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan lima pembangkang.

Sembilan anggota PAC yang masih ada terdiri dari empat dari BN dan lima ahli parlimen daripada pembangkang.

Wakil BN dalam PAC yang masih ada ialah ahli parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Liang Teck Meng (Simpang Renggam), Hasbi Habibollah (Limbang) and Datuk Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Manakala wakil pembangkang pula ialah ahli parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar, Tony Pua (DAP - Petaling Jaya Utara), William Leong (PKR - Selayang), Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR - Telok Kemang) dan Dr Tan Seng Giaw (DAP - Kepong).

Klausa 83 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan melainkan Dewan mengarahkan selainnya, tiga orang ahli termasuk Pengerusi hendaklah dianggap korum.

Sementara itu, seorang lagi anggota PAC, Datuk Kamaruddin Jaffar memberitahu TheSun, Nur Jazlan dan tiga lagi yang dilantik sebagai timbalan menteri tidak mempunyai locus standi untuk bercakap bagi PAC, seperti di bawah Peraturan Mesyuarat 77 (4) mereka secara automatik hilang keahlian PAC mereka sebaik mereka menjadi anggota pentadbiran.

"Oleh itu, Nur Jazlan tidak mempunyai hak untuk mengatakan prosiding perlu dihentikan, kerana dia bukan lagi anggota PAC selepas beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri," katanya.