Usul pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat esok merupakan satu proses Perlembagaan yang selalu diamalkan sebelum ini.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin, bagaimanapun, berkata, situasi pertukaran Speaker esok adalah pertama kali berlaku dalam sejarah bukan dalam tempoh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

"Di negara kita belum pernah berlaku pertukaran Speaker ketika pertengahan bukan selepas PRU diadakan. Selalunya pertukaran Speaker berlaku apabila pilihan raya dan Dewan (Rakyat) bersidang semula, tapi ini di tengah-tengah apabila... baru dua tahun kerajaan lama memerintah sudah bertukar dengan kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) sudah ada usul menukar Speaker.

"Ini satu proses Perlembagaan yang membenarkan pelantikan seorang Speaker, malah peraturan Dewan Rakyat memperuntukan seorang Speaker baharu dilantik dan bagaimana untuk mengenepikan Speaker (yang sedang) berkhidmat.

"Saya tidak melihat ini perkara pelik, selagi mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan jadi tindakan menukar Speaker adalah mengikut Perlembagaan," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

BACA: Undi tidak percaya Muhyiddin: Usul Mahathir disenarai, giliran 27

BACA: Azhar Harun calon YDP Dewan Rakyat, Azalina timbalan

Dalam pada itu, sesi Dewan Rakyat esok dijangka menjadi sidang paling panas yang pernah berlaku sebelum ini.

Kata Salehuddin, meskipun akan berlaku pertelagahan diantara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, namun itu, tegas beliau, merupakan proses demokrasi yang sihat.

"Saya menjangkakan sidang kali ini panas disebabkan ini sidang pertama walaupun sidang Parlimen pertama titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tapi kali ini perdebatan dua pihak dijangka berlaku.

"Kerajaan baharu ini dikatakan berlaku tanpa mandat rakyat, tapi saya tidak nampak demikian selagi Perdana Menteri dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut proses undang-undang, maka ianya adalah kerajaan yang sah dipilih mengikut undang-undang. Perdebatan itu saya fikir satu proses demokrasi yang sihat," katanya lagi

Mengulas mengenai Datuk Azhar Azizan Harun yang dinamakan sebagai calon Speaker Dewan Rakyat, jelas Salehuddin, rekod pentadbiran bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dilihat membantunya menjadi seorang Yang Dipertua yang baik.

Malah sebagai peguam yang aktif, Azhar, kata beliau, adalah calon yang boleh mengawal peraturan mesyuarat dan membuat keputusan yang adil.