Sikap dan perbuatan manusia merupakan antara faktor utama berlakunya kejadian kebakaran hutan di dua kawasan di Selangor pada Jun lepas, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Othman Abdullah.

Beliau berkata perkara itu dikenal pasti berdasarkan siasatan JBPM Selangor terhadap kejadian kebakaran di tepi Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran susur keluar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Taman Johan Setia di Klang itu.

"Kejadian di Elite misalnya, kita dapati ada pihak tidak bertanggungjawab yang membakar tayar di dalam kawasan hutan berhampiran sehingga menyebabkan kawasan berkenaan terbakar dan api merebak untuk tempoh lebih seminggu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata begitu juga dengan kejadian di Taman Johan Setia, di mana JBPM Selangor mengesan ada golongan petani di kawasan berkenaan mengambil jalan mudah untuk membersihkan kawasan tanah kebun mereka melalui kaedah pembakaran hutan.

Mengimbas kejadian kebakaran hutan itu, Othman berkata apa yang dikesalkan ialah pihak terbabit bersifat pentingkan diri kerana sanggup melakukan aktiviti pembakaran hutan itu ketika negara dilanda jerebu teruk sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya

"Lebih memburukkan keadaan ialah kawasan kebakaran terbabit ialah kawasan tanah gambut yang memang mudah terbakar serta berlakunya kejadian tompokan api kecil ketika proses memadam kebakaran dilakukan," katanya.

Jun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah membuka 12 kertas siasatan bagi mendakwa 12 pemilik tanah yang terlibat dalam kejadian kebakaran di kawasan tanah mereka.

Beliau berkata JAS Selangor masih menjalankan siasatan dan Pejabat Tanah Daerah Klang juga sedang mengenal pasti pemilik terbabit untuk diambil tindakan kerana gagal mengurus tanah mereka sehingga berlaku kebakaran.

Wong berkata pemilik tanah yang dikenal pasti juga akan didakwa mengikut Akta Kualiti Alam yang membawa hukuman penalti sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara.