PUTRAJAYA: Silibus mata pelajaran yang digunakan dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini digunakan sejak 2017.

Menurut Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin, silibus yang diguna pakai itu adalah hasil kajian dan cadangan beberapa pihak termasuk guru-guru yang mempunyai kepakaran masing-masing.

Jelasnya, ketika ini Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melakukan penilaian semula silibus sekolah rendah memandangkan tempoh pusingan penggunaanya hampir tamat.

“Ini bukanlah sesuatu yang baharu. Menurut pendekatan selama ini yang digunakan, apabila silibus itu diperkenalkan ia akan melalui satu pusingan... maknanya untuk sekolah rendah silibus ini diperkenalkan pada tahun 2017.

“Jadi ia akan digunakan dari 2017 hingga 2022, maka lengkaplah satu pusingan... yang Darjah Satu 2017 akan berada Darjah Enam pada 2022, lengkap satu pusingan... itu untuk sekolah rendah,” katanya kepada media hari ini.

AWANI Ringkas: KPM perjelas isu Cikgu Fadli

KPM juga katanya akan bersikap terbuka dengan segala pandangan dan idea daripada semua pihak termasuk guru dan juga ibu bapa dalam menentukan silibus pembelajaran yang akan digunakan.

Beliau turut menasihatkan agar isu membabitkan silibus pembelajaran sekolah tidak dipolitikan oleh mana-mana pihak memandangkan ia membabitkan pendidikan pelajar di negara ini.

Jelasnya beliau melihat ada kumpulan dan individu tertentu yang cuba menjadikan silibus pembelajaran sebagai isu politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15  (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi.

BACA: Surat kepada Cikgu Mohd Fadli bukan hukuman - KP Pendidikan

BACA: Lebih 22,000 tandatangan petisyen sokong Cikgu Fadli Salleh

Sabtu lalu, Mohd Fadli menerusi Facebook mendakwa dia akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Dia turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai, selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat.

Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bagi membela diri.