KUALA LUMPUR: Surat yang dihantar kepada Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh, seperti yang ditularkan baru-baru ini, tidak bermaksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, surat tersebut sebaliknya bertujuan memaklumkan Mohd Fadli berkenaan dakwaan yang diterima lembaga berkenaan. 

Selain itu, beliau berkata, surat tersebut juga bertujuan untuk memaklumkan keperluan Mohd Fadli mengemukakan representasi atau penjelasan bertulis.

“Pihak Lembaga Tatatertib telah menerima surat representasi daripada Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh pada 14 Oktober 2022. Lembaga Tatatertib dijadualkan bersidang pada hari Isnin, 17 Oktober 2022.

“Prosiding tatatertib ini dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 yang diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuk saya sendiri. Saya berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman kepada semua pihak,” katanya dalam satu rakaman video di laman Facebook, hari ini.

BACA: Radzi Jidin ajak Cikgu Mohd Fadli berjumpa

Sebelum ini Mohd Fadli melalui Facebooknya telah berkongsikan surat diterima daripada Kementerian Pendidikan (KPM), susulan tindakan beliau berkongsikan secara terbuka tentang beberapa isu yang didakwa membebani warga pendidik dan pelajar.

Guru di salah sebuah di daerah Gombak itu berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Beliau selanjutnya mendakwa, akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu membabitkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Susulan itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, beliau berharap dapat bertemu dengan guru terbabit.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa.” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook hari ini.