ALOR SETAR: Dua lelaki didenda RM12,300 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas empat pertuduhan melakukan khianat dan menakutkan peminjam secara jenayah.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap tertuduh, Mohd Nain Abdullah, 38, dan Asmadi Abu Hassan, 41, setelah mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Zul Himi Latif.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat di kediaman seorang wanita di Kampung Borhan, Jalan Langgar antara jam 2.11 hingga 2.12 petang pada 10 September 2022.

Kesalahan itu didakwa menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM3,000.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah dengan menampal notis bertulis ugutan secara jenayah terhadap seorang lelaki pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut fakta kes, mangsa mendapati terdapat kesan simbahan cat dan nota ugutan terhadapnya di kediaman mangsa di Jalan Langgar, di sini ketika tiba di rumah itu lebih kurang 2.30 petang.

Mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa mangsa membuat laporan polis selepas mendapati rumahnya disimbat cat dan diletakkan notis ugutan, malah kejadian seumpama itu sudah empat kali berlaku.

Mahkamah menetapkan hukuman denda RM6,300 ataupun hukuman penjara 18 bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda ditetapkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’a Fadzil, manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Farhana Fadzil mewakili Muhammad Naim dan Saidina Khadijah Zaharah Khairunnisa Mohd Noor mewakili Asmadi.

Sementara itu, dalam dua lagi pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret berasingan, kedua-dua tertuduh turut didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat hingga menyebabkan mangsa kerugian RM500 di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Jalan Perak, antara jam 2.38 hingga 2.39 petang pada 10 September lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, Mohd Naim dan Asmadi turut didakwa dengan sengaja menakutkan secara jenayah seorang wanita dengan cara menampal notis yang memberi amaran supaya membayar pinjaman pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor dan dikenakan hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan ataupun penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap kesalahan tersebut.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Ruslan Usman, manakala tertuduh diwakili peguam YBGK, H.A.Chua.