SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas kerugian RM3.83 juta selepas diperdaya sindiket 'phone scam' yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita berusia 70 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang mengaku sebagai ejen insurans sekitar November 2022.

Menurutnya, suspek menyatakan terdapat tuntutan insurans yang dibuat menggunakan nama mangsa, namun mangsa menafikannya.

"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada 'pihak polis' dan individu itu mendakwa nama mangsa terlibat aktiviti pengubahan wang haram.

"Khuatir dirinya ditangkap pihak berkuasa, mangsa hanya menuruti apa sahaja arahan diberikan oleh ahli sindiket terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek meyakinkan mangsa untuk membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan satu nombor telefon yang diberikan suspek kepada mangsa untuk urusan perbankan dalam talian sebelum diminta untuk menyerahkan nombor akaun berkenaan kononnya bagi tujuan siasatan.

Katanya, mangsa diarahkan memindahkan semua wang miliknya ke dalam akaun terbabit dan tidak dibenarkan mengakses akaun itu beberapa bulan.

"Mangsa turut diarahkan supaya menghapuskan kesemua resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaun terbabit," jelasnya.

Tambahnya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati akaun banknya hanya berbaki RM79.59 selepas semakan dibuat pada Rabu.

"Mangsa kerugian RM3.83 juta selepas wang persaraan, simpanan tetap, akaun amanah dan gadaian emas dipindahkan ke akaun baharu terbabit," katanya.

Hussein mengingatkan bahawa tiada panggilan telefon daripada satu syarikat, agensi atau jabatan kerajaan yang boleh dipindahkan dari satu pihak ke pihak yang lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian