Skip to main content

Malaysia

Sindiket arak tiruan tumpas, rampasan cecah RM1.7 Juta

π—¦π—œπ——π—”π—‘π—š π— π—˜π——π—œπ—” π—žπ—˜π—§π—¨π—” π—£π—’π—Ÿπ—œπ—¦ 𝗝𝗒𝗛𝗒π—₯ "KEJAYAAN RAMPASAN ARAK TIDAK BERCUKAI KASTAM"
Ab Rahaman juga berkata, polis menyerbu sebuah lagi premis di Taman Senai Utama yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan arak tiruan tidak bercukai kastam. - Gambar fail

KULAI: Sindiket arak tiruan tidak bercukai bernilai RM1.7 juta dirampas Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menerusi dua serbuan berasingan di Taman Mewah dan Taman Senai Utama pada 3 Februari lalu antara jam 2 petang hingga 3.30 petang hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Taman Mewah dipercayai dijadikan lokasi pembotolan arak tiruan.

Advertisement

Serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30 tahun.

β€œDalam serbuan pertama, polis merampas tiga tong hitam berisi 200 liter pati alkohol serta beberapa tong lain yang diubah suai berisi cecair, disyaki arak tiruan tidak bercukai kastam yang telah dibancuh.

β€œTurut dirampas sebuah tong hitam berkapasiti 1,000 liter mengandungi kira-kira 500 liter cecair disyaki arak tiruan, selain bahan pewarna dan perisa karamel, alat pengukur alkohol, mesin pam air serta mesin penutup botol,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Selain itu, polis merampas 203 kotak arak pelbagai jenama, 50 kotak berisi botol kosong, 1,100 penutup botol serta pelekat kastam disyaki palsu dan pelekat arak jenama tertentu.

Susulan risikan lanjut, polis menyerbu sebuah lagi premis di Taman Senai Utama yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan arak tiruan tidak bercukai kastam.

Dalam serbuan kedua itu, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan dan polis merampas 414 kotak arak pelbagai jenama serta sebuah van Toyota Hiace bersama anak kunci dan alat kawalan jauh.

β€œRampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.7 juta melibatkan peralatan pembotolan berjumlah RM8,100, arak tiruan RM923,500, cukai tidak dibayar RM665,045 dan kenderaan RM80,000,” katanya.

Jelasnya, arak tiruan itu dipercayai dijual antara RM50 hingga RM60 sebotol di pasaran tempatan dengan tumpuan kepada pelanggan warga asing, dan polis telah mengenal pasti lokasi pemprosesan sindiket yang dipercayai masih beroperasi di Johor.

Kesemua suspek direman sembilan hari bermula 4 hingga 12 Februari bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Must Watch Video