Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang pemilik syarikat disyaki terlibat dalam sindiket pengisytiharan palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang.
Sumber memaklumkan lelaki berusia lingkungan 30-an itu direman hingga Ahad ini selepas Majistret Ezrene Zakaria membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Advertisement
Lelaki itu ditahan kira-kira 5 petang semalam menerusi “Ops Celio” yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di sekitar Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sejak 2020 dengan menjadi ‘runner’ bagi individu, syarikat dan juga ejen penghantaran yang menguruskan kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.
“Suspek juga dipercayai seorang daripada ahli sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan kontraban dari pelbagai negara pengeksport dengan menggunakan modus operandi Trade Based Money Laundering,” katanya.
Menurutnya, Ops Celio itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan SPRM dan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Sumber berkata, operasi di 14 lokasi itu melibatkan syarikat dan individu pengimport, ejen penghantaran serta orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import ke Malaysia kepada JKDM untuk mengelak duti import.
Menurut sumber itu lagi, kegiatan berkenaan menyebabkan kerajaan kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
“Siasatan yang dilakukan BOK ini turut mempercayai sindiket itu memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram tersebut selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.
“Melalui operasi ini juga, SPRM turut membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM160 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Mohamad Zamri memaklumkan Ops Celio akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan 14 premis melibatkan kediaman serta syarikat dan ejen penghantaran sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.