KUALA LUMPUR:Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket menjual sijil cuti sakit dipercayai palsu selepas tertangkapnya lima individu dalam serbuan berasingan di Gombak dan Sungai Buloh pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat pengadu iaitu seorang doktor dari sebuah klinik swasta.

Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas pengadu menerima satu panggilan telefon dari pengurusan sebuah syarikat swasta di Puchong pada 24 Oktober lalu untuk mengesahkan sijil cuti sakit melibatkan pekerjanya yang dikeluarkan klinik berkenaan.

Sijil cuti sakit palsu digunakan oleh sindiket yang dirampas pihak polis pada Sabtu. Gambar: PDRM

"Semakan terhadap sijil cuti sakit tersebut mendapati tiada rekod. Seterusnya pengadu diberikan satu salinan sijil cuti sakit tersebut untuk disahkan.

"Pengadu telah sahkan bahawa sijil cuti sakit yang ditunjukan oleh pihak syarikat tersebut adalah palsu. Pengadu kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada sijil cuti sakit tersebut dan dijawab oleh seorang lelaki tempatan," katanya lagi.

Arifai berkata, suspek bagaimanapun cuba menawarkan wang sogokan RM5,000 kepada pengadu supaya tidak membesarkan isu berkenaan.

Namun begitu, pengadu, kata Arifai, menolak tawaran terbabit dan membuat laporan polis pada 12 Disember lalu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak berjaya menahan dua lelaki dan tiga perempuan tempatan di sekitar Gombak dan Sungai Buloh disyaki terlibat dalam pemalsuan sijil cuti sakit klinik pengadu.

Peralatan dipercayai digunakan sindiket mencetal sijil cuti sakit palsu turut dirampas. Gambar: PDRM"Turut dirampas dua unit komputer dan unit printer/scanner berserta dengan sijil cuti sakit palsu (mastercopy) yang digunakan untuk scan dan mencetak sijil cuti sakit," kata Arifai lagi.

Polis turut merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama serta 15 keping sijil cuti sakit disyaki palsu.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek kini direman selama enam hari sehingga 18 Disember untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.