Skip to main content

Malaysia

Sindiket kereta klon RM1.1 juta tumpas, 12 ditahan

Kuala Lumpur , 18 Mac 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),  Datuk M. Kumar S. Muthuvelu pada sidang media berkenaan kejayaan OP Lejang Mewah Klon : Jenayah Curi dan Klon Identiti Kenderaan di 6 Buah Negeri di Pulapol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu (foto) berkata, operasi yang dijalankan dari 12 hingga 15 Mac itu merupakan hasil risikan selama hampir lima bulan. -Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket yang mengklon dan memanipulasi identiti kenderaan menggunakan dokumen kelihatan sah bagi memperdaya pembeli berjaya dibongkar dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, baru-baru ini.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu berkata, operasi yang dijalankan dari 12 hingga 15 Mac itu merupakan hasil risikan selama hampir lima bulan.

Advertisement

“Seramai 12 suspek tempatan ditahan melibatkan 10 lelaki dan dua wanita berusia antara 33 hingga 60 tahun.

“Siasatan mendapati mereka bergerak dalam tiga lapisan iaitu pembeli, orang tengah serta penjual atau dealer,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambahnya, sebanyak 12 buah kenderaan dengan nilai anggaran RM1.1 juta turut dirampas sepanjang operasi berkenaan.

Dalam perkembangan sama, seorang daripada suspek didapati dikehendaki pihak berkuasa Singapura dan telah diserahkan kepada negara itu pada 16 Mac lalu.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi, Kumar menjelaskan sindiket terbabit menggunakan identiti kenderaan curi atau kenderaan yang diisytihar sebagai ‘total loss’, sebelum mengubah nombor casis dan enjin bagi menyembunyikan identiti sebenar.

Katanya, mereka juga memanipulasi maklumat pendaftaran selain menggunakan nombor plat baharu untuk menjadikan kenderaan tersebut seolah-olah sah.

“Secara luaran, kenderaan ini lengkap dengan dokumen seperti geran, cukai jalan dan insurans, sekali gus menyukarkan orang ramai mengesan penipuan,” katanya.

Beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 79A Kanun Keseksaan, dengan siasatan lanjut kini turut meneliti kemungkinan pembabitan pihak dalam.

“Siasatan juga menjurus kepada akses maklumat kenderaan ‘total loss’, proses pemeriksaan di PUSPAKOM serta kaedah pengeluaran geran,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika membeli kenderaan terpakai.

“Buat semakan harga yang munasabah, elakkan urus niaga secara tunai kerana sukar mendapatkan pembiayaan, dan pastikan proses jual beli dilakukan melalui saluran yang sah.

“Kenderaan ‘total loss’ juga perlu dilaporkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tujuan pelupusan,” katanya lagi.

Must Watch Video