Skip to main content

Malaysia

Ikhtiar sara hidup ceriakan sambutan Aidilfitri

KPDN, SHMMP, SARA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) di pelancaran aplikasi info PJRM. - Foto KPDN

KUALA LUMPUR: Menjelang Aidilfitri, pelbagai ikhtiar sara hidup dilaksanakan oleh kerajaan melalui pendekatan secara holistik dan merentasi pelbagai kementerian bagi meringankan perbelanjaan orang ramai dalam membuat persiapan menyambut perayaan.  

Intervensi kerajaan dilihat membantu meredakan kebimbangan rakyat terhadap harga barangan, sekali gus membolehkan rakyat membuat persiapan perayaan dalam suasana lebih tenang dan terancang.

Image
KPDN, SHMMP, SARA
Mohd Sayuthi menegaskan, kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 bermula 14 hingga 28 Mac, melibatkan 27 jenis barangan keperluan. - Foto KPDN

Advertisement

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, setakat ini bekalan barangan keperluan asas kekal stabil walaupun berdepan dengan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat.

“Alhamdulillah tahun 2026 setakat ini kita lihat kita tidak ada isu kekurangan bekalan khususnya menjelang musim-musim perayaan,” katanya ketika di temu bual dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan bahawa harga barangan keperluan asas, termasuk barangan import, berada dalam keadaan stabil dan sebahagiannya menunjukkan penurunan.

Bagi membantu rakyat merancang perbelanjaan menjelang musim perayaan, KPDN mempergiat pelaksanaan inisiatif di bawah Payung Rahmah MADANI.

Antaranya, Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) yang kini diperluas ke 116 lokasi seluruh negara, menawarkan juadah berbuka pada harga RM5 dan ke bawah.

“Tujuannya supaya juadah dapat dibeli oleh mereka yang kurang kemampuan, kita tidak mahu ada dalam kalangan masyarakat yang tertinggal daripada menikmati juadah berbuka,” jelasnya.

Selain itu, sebanyak 1,898 siri Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang dilaksanakan sempena Ramadan dan Aidilfitri ini terus menjadi pilihan rakyat dengan penawaran barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

“Sambutan untuk program jualan RAHMAH MADANI ini sangat baik dan memang ditunggu-tunggu,” tambahnya.

Pada masa yang sama, KPDN meneruskan Program Servis Ihsan MADANI@PETRONAS AutoExpert dengan beberapa penambahbaikan pada tahun ini.

Program tersebut menawarkan diskaun 10 hingga 30 peratus bagi servis kenderaan di 124 cawangan, termasuk peluasan kepada kenderaan diesel, khususnya di Sabah dan Sarawak. 

Tempoh pelaksanaan pada kali ini juga adalah lebih panjang bagi memberi keselesaan dan pillihan kepada pengguna iaitu pada 10 hingga 17 Mac 2026 (sebelum hari raya) dan 23 hingga 31 Mac 2026 (selepas hari raya).

Turut giat dilaksanakan adalah Ops Pantau bagi memastikan pematuhan peniaga serta kestabilan harga dan bekalan terjamin sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri. 

Sehingga 9 Mac 2026, sebanyak 44,016 pemeriksaan telah dijalankan dengan 820 kes pelanggaran direkodkan, melibatkan rampasan bernilai RM4.28 juta.

Bagaimanapun, tahap pematuhan di bazar Ramadan kekal tinggi dengan hanya lapan kes dikesan daripada lebih 13,000 pemeriksaan oleh Penguat Kuasa KPDN. 

Image
KPDN, SHMMP, SARA
Senarai barangan harga terkawal SHMMMP Hari Raya Aidilfitri 2026. - Foto KPDN

Bagi mengekang kenaikan harga yang tidak munasabah, kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 bermula 14 hingga 28 Mac, melibatkan 27 jenis barangan keperluan.

Menurut Mohd Sayuthi, penetapan harga dibuat secara teliti dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pemain industri dan agensi berkaitan.

“Proses penentuan harga bukan mudah jadi kita pastikan kepentingan semua pihak, termasuk pengguna, terus terpelihara,” katanya.

Selain inisiatif KPDN, menerusi Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), pelbagai ikhtiar lain turut disalurkan melalui kerjasama rentas kementerian bagi membantu rakyat dalam menghadapi musim perayaan.

Antara ikhtiar lain adalah seperti berikut:

  • Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima
  • Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada individu berumur 18 tahun ke atas
  • Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam dan pesara
  • Penetapan harga maksimum tiket penerbangan serta bantuan Flysiswa

Mengulas lanjut Mohd Sayuthi berkata, pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja membantu rakyat, malah merangsang ekonomi domestik.

“Inisiatif ini memberi kelegaan kepada rakyat dan dalam masa sama merancakkan ekonomi, khususnya sektor peruncitan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, pengguna disaran agar berbelanja secara berhemah dan merancang perbelanjaan mengikut kemampuan supaya nilai dan makna Aidilfitri dapat diraikan dengan penuh kesederhanaan dan kesyukuran. 

Image
KPDN, SHMMP, SARA
Untuk sebarang pertanyaan dan aduan, orang ramai boleh menghubungi talian Whatsapp, hotline KPDN atau portal E-Aduan KPDN seperti yang tertera. - KPDN

Must Watch Video