Skip to main content

Malaysia

Lelaki dibaham buaya ditemukan tanpa kaki, tangan

Lelaki dibaham buaya ditemukan tanpa kaki, tangan
Jasad mangsa dibawa naik ke darat menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis. -Foto Sinar Harian

KINABATANGAN: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas dibaham buaya ketika menjala udang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Kampung Segaliud di sini pada Rabu.

Jasad Mohd Rayyan Abdullah, 28, ditemukan terapung pada jam 9.55 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Advertisement

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, mangsa ditemukan pada hari kedua operasi SAR dijalankan.

"Operasi hari ini bermula pada jam 9.15 pagi dengan kerjasama agensi penyelamat lain serta penduduk kampung sebelum mangsa ditemukan di tepi sungai oleh pasukan bomba.

"Keadaan mangsa tidak sempurna dengan kedua-dua kaki dan tangan dipercayai putus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, jasad mangsa kemudian dibawa ke darat menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi," katanya.

Sebelum itu, mangsa dilaporkan bersama bapanya menjala udang di sungai berkenaan sebelum dibaham buaya dan hilang dari pandangan.

Dalam kejadian itu, bapa mangsa menyaksikan sendiri anaknya dibaham haiwan reptilia tersebut sebelum bertindak mendapatkan bantuan daripada pasukan penyelamat. -Sinar Harian

Must Watch Video