KUALA LUMPUR: Membuat panggilan menyatakan seseorang itu layak menerima insentif atau bantuan daripada kerajaan merupakan modus operandi terbaharu yang digunakan sindiket Macau Scam untuk memperdaya mangsa mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata sindiket itu akan meminta mangsa menyerahkan nama pengguna atau kata laluan perbankan dalam talian atas alasan untuk memudahkan proses pembayaran.

"Setelah (sindiket) mendapat nama pengguna dan kata laluan, mangsa mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata melalui pemantauan polis, sindiket itu kerap mengubah modus operandi untuk memperdaya mangsa.

Katanya mangsa turut diperdaya dengan menerima panggilan telefon 'pegawai' daripada agensi penguat kuasa seperti polis, mahkamah dan Bank Negara yang memaklumkan akaun mereka sedang disiasat serta wang akan dibekukan.

"Mangsa akan diminta supaya membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan oleh sindiket sebelum mendapati wang di dalam akaun mereka berkurangan," katanya.

Mohd Kamarudin berkata Polis Diraja Malaysia sentiasa komited untuk memastikan perlakuan jenayah melibatkan penipuan secara panggilan telefon itu dapat dibendung, bagaimanapun sindiket yang dikenal pasti turut melibatkan rangkaian di luar negara yang menyukarkan pihak berkuasa membanteras kegiatan itu secara menyeluruh.

Sepanjang tahun lepas, sejumlah 1,585 kes Macau Scam disiasat melibatkan kerugian berjumlah hampir RM561 juta dan seramai 9,646 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan itu, katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang maklumat perbankan dan nombor telefon dengan orang lain terutama individu yang tidak dikenali.

"Pihak polis juga tidak pernah meminta maklumat sedemikian dalam menjalankan siasatan dalam usaha membanteras kes sebegini, jadi orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan peka dengan modus operandi jenayah ini," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi polis melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599 sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau mendapatkan nasihat berhubung jenayah komersial.

-- BERNAMA