SHAH ALAM: Polis membongkar satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja di aplikasi Telegram dengan penahanan empat lelaki warga tempatan di kawasan Taman Perindustrian Glenmerie di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata keempat-empat suspek berumur 31 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondomium sekitar kawasan berkenaan pada 6.40 petang.

Beliau berkata dalam serbuan itu, pihaknya telah merampas 6.5 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM20,243.

"Siasatan mendapati aktiviti pengedaran ini telah bergiat aktif sejak setahun lepas sekitar Lembah Klang dengan modus operasinya menghantar bekalan dadah kepada pelanggan, dipercayai untuk pasaran tempatan menggunakan kurier selepas menerima pesanan melalui aplikasi Telegram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hair ini.

Menurut Mohd Iqbal, kesemua suspek didapati positif dadah dan mereka direman selama tujuh hari bermula 15 Jan lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA