JOHOR BAHRU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 membongkar dan menumpaskan sindiket memproses dan menyimpan arak tiruan bernilai RM5.3 juta dalam satu serbuan sebuah gudang Taman Perindustrian Desa Plentong di sini, pada Isnin.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuah itu ialah 62 tong biru berisi cecair pati arak dengan kapasiti 200 liter dan 56 kotak arak tiruan yang telah diproses.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, dalam serbuan sekitar pukul 4.45 petang, pasukan berkenaan turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang juga pekerja di situ.

Lelaki itu menguruskan penghantaran dan mengedar arak yang telah dibotolkan bagi pasaran tempatan sekitar bandaraya Johor Bahru.

"Mereka membeli pati arak dan dibotolkan di tempat selamat, meletak dan melabelkan pati arak ini ke pasaran tempatan. Aktiviti ini bergiat aktif semula apabila MCO (perintah kawalan pergerakan) ditarik balik (apabila) kedai dan minuman dibuka semula, permintaan meningkat,” kata beliau dalam sidang media berhubung rampasan itu di sini, pada Selasa.

Selain itu, pasukan berkenaan turut merampas dua buah kereta, forklift, pam air, telefon bimbit dan pelekat Kastam yang dipercayai palsu.

Menurut Muhammad, pihaknya telah menjalankan risikan serta pemerhatian selama sebulan sebelum serbuan dilakukan.

Beliau berkata, arak tiruan itu hampir menyerupai arak asli dari segi fizikal botol dan label jenama minuman keras yang digunakan.

Katanya, status gudang dan dari mana pembelian pati cecair alkohol dalam tong biru masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976 (kesalahan membuat, memproses arak dan memiliki peralatan membuat arak).