SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu, di sini pada Rabu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan Abd Muis Samsudin berkata serbuan pada 1.45 tengah hari itu merampas 4,500 liter minyak diesel, sebuah lori satu tan diubah suai, sejumlah tangki petak dan peralatan digunakan untuk kerja pemindahan diesel dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM32,675.

Beliau berkata semasa serbuan, terdapat sebuah lori satu tan bertutup kanvas dikesan mencurigakan disyaki sedang memindahkan minyak diesel bersubsidi daripada bahagian muatan lori dengan menggunakan hos ke dalam tangki petak sebagai tempat simpanan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan dua tangki petak diubah suai di atas lori berkenaan manakala terdapat lima tangki petak berisi penuh dengan minyak diesel di stor berkenaan.

"Semakan awal turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya tindakan ke atas kes tersebut berdasarkan hasil maklumat risikan yang dijalankan selama seminggu oleh KPDNHEP negeri yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori berkenaan.

"Disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi serbuan selain stor itu telah beroperasi sebagai tempat penyimpanan sekitar dua bulan lepas," katanya.

Beliau berkata seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317.

-- BERNAMA