Sindiket seludup ketum masih guna laluan kawasan anggota PGA maut ditembak

Adie Sufian Zulkefli
Februari 1, 2021 11:12 MYT
Anggota PGA telah membuat penggeledahan serta menutup laluan terbabit di samping mempertingkatkan rondaan serta kawalan sepanjang masa. - Gambar/ Astro AWANI
PADANG BESAR: Sindiket penyeludupan ketum dikesan masih menggunakan laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand di Felda Mata Ayer, di sini, terutama di kawasan yang menjadi lokasi pertempuran mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) November lalu.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, walaupun kawasan itu kini dikawal ketat, namun penyeludup sentiasa mencari peluang untuk menggunakan laluan berkenaan.
Katanya, berdasarkan rondaan di kawasan itu, pihaknya mengesan tiga hingga empat lorong atau denai menuju ke pagar sempadan.
"Anggota PGA telah membuat penggeledahan serta menutup laluan terbabit di samping mempertingkatkan rondaan serta kawalan.
"Faktor utama laluan itu masih menjadi pilihan penyeludup adalah kerana jaraknya yang dekat, berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand serta akses ke jalan utama agak dekat dan mudah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Penugasan Op Benteng-COVID Sempadan Darat Malaysia-Thailand di Pos PB 11, Padang Besar, hari ini.
BACA: Anggota PGA Koperal Baharuddin Ramli selamat disemadi
BACA: PGA hasrat bina stadium mini, tugu peringatan Sarjan Baharuddin
Terdahulu, Abdul Ghani menyaksikan pertukaran penugasan Op Benteng-COVID Sempadan Darat Malaysia-Thailand Briged Utara antara Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pangkalan Hulu, Superintendan Ramli Wan Salin dengan Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Superintendan Abdul Aziz Abdullah.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, penggeledahan yang kerap dilakukan di kawasan itu membuatkan segelintir penyeludup mula mengubah taktik dengan menggunakan laluan laut di perairan Kuala Perlis.
Dalam kejadian pada 24 November tahun lalu, anggota PGA Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, parah ditembak ketika bertempur dengan kumpulan penyeludup di kawasan berkenaan.
#PGA #sindiket #seludup ketum #padang besar #masih aktif #terkorban #ditembak #komander #Abdul Ghani Mohamad Ji