PADANG BESAR:Sebuah tugu dan stadium mini akan dibina bagi memperingati pengorbanan Sarjan Baharuddin Ramli, 54 tahun, dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika satu insiden berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand minggu lalu.

Menurut Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Rosman Kasman, tugu peringatan itu akan dibina di pos kawalan TS9 di sini, lokasi di mana Baharuddin rebah dan menghembuskan nafas terakhir.

"Ia untuk mengingati apa yang telah berlaku, yang menyebabkan kematian dan kecederaan parah kepada anggota Senoi Praaq, sebagai kesinambungan untuk generasi baharu tentang bagaimana perjuangan rakan-rakan sebelum daripada mereka.

"Jadi, dengan adanya tugu peringatan ini, semua memori tentang kejadian itu akan sentiasa berpanjangan. Sepanjang perkhidmatan dia, kita ingat.

"Kita mahu mengingati perjuangan yang telah dilakukan kedua-dua mereka demi mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman anasir yang tidak bertanggungjawab seperti penyeludupan," katanya kepada media hari ini sambil menunjukkan lokasi kejadian tersebut.

Baharuddin, seorang Orang Asli dari suku kaum Semelai, merupakan anggota Senoi Praaq atau Batalion 3 PGA, yang berpangkalan di Bidor, Perak.

Pada 24 Nov lalu, berlaku insiden yang menyaksikan Baharuddin terkorban, selepas kejadian berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup semasa melakukan tinjauan dan risikan di kawasan berkenaan.

Rakan setugasnya Sarjan Norihan Tari cedera parah dalam kejadian itu dan kini sedang dirawat.

Kejadian berlaku kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 tersebut.

BACA: Anggota PGA Koperal Baharuddin Ramli selamat disemadi 

BACA: Anggota PGA ditembak: Mendiang Koperal Baharuddin rajin, berani - Rakan baik


Replika tugu peringatan yang akan dibina untuk mengingati Baharuddin, di Kem PGA Bukit Kayu Hitam. - Foto Astro AWANI

Kata Rosman, tugu tersebut akan dibina sebaik selesai siasatan Jabatan Forensik Bukit Aman di lokasi kejadian.

Tambahnya, bagi mengenang jasa Baharuddin dalam bola sepak, sebuah stadium mini yang lengkap dengan astaka akan dibina di Kem PGA 3 di Bidor.

Menurutnya, kecintaan serta minat mendiang terhadap sukan bola sepak sangat mendalam bermula sebagai pemain sehingga menjadi ketua pasukan dan jurulatih pasukan Batalion 3.

"Sebagai memenuhi hasrat dia yang telah tiada, saya ingin membina satu astaka mini, untuk dikenali sebagai Astaka Sarjan Baharuddin.

"Saya harap sebelum saya keluar daripada Batalion 3 ke mana-mana, saya nak pastikan astaka ini wujud sebagai kenangan kepada mendiang yang sangat cintakan sukan bola sepak," katanya.

Semalam, 1 Disember, merupakan hari terakhir penugasan selama sebulan Batalion 3 PGA di sempadan itu dan mereka akan digantikan dengan Batalion 2 PGA dari Kulim, Kedah.