KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga tempatan ditahan di sebuah kondominium di Cheras pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan tawaran kerja dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun itu berperanan sebagai operator untuk mendapatkan mangsa dengan menggunakan medium media sosial.

Mohd Mahidisham berkata, pada serbuan jam 3.30 petang itu, pihaknya turut merampas satu unit komputer riba, enam unit telefon bimbit dan dua keping kad pengeluaran tunai.

"Siasatan awal mendapati sindiket telah mula beroperasi sejak Mei lalu dan menyasarkan mangsa warga tempatan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kedua-dua individu itu ditahan reman sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.