JOHOR BAHRU: Singapura disifatkan sebagai rakan strategik utama Johor dalam usaha memulihkan ekonomi negeri itu pasca pandemik COVID-19, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, ia disebabkan negara seberang tambak itu merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia, terutamanya di Johor.

Perkara itu dibincangkan beliau menerusi panggilan video dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee, hari ini.

Lee turut mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz atas kelancaran pembukaan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura pada 1 April lalu.

"Antara perkara yang kami bincangkan ialah langkah-langkah proaktif bagi meningkatkan hubungan antara rakyat Johor dan Singapura, lebih-lebih lagi selepas pintu sempadan dibuka.

"Kami juga berbincang serba sedikit berkenaan agenda "Joint Ministerial Committee Iskandar Malaysia-Singapura" yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran, Lee dan saya sendiri," kata beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya.

Onn Hafiz mengadakan panggilan video dengan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee, hari ini. – Gambar FACEBOOK ONN HAFIZ

Onn Hafiz berkata, Johor dan Singapura memang mempunyai hubungan yang baik dan erat sejak sekian lama, malah, ramai rakyat Singapura dan Bangsa Johor mempunyai pertalian saudara.

"Semoga hubungan erat ini akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA