PERNAHKAH kita terfikir sisa buangan dari rumah sebenarnya boleh menjana tenaga elektrik daripada hanya dilonggokkan di tapak pelupusan sampah?

Tapak pelupusan sampah termasuk di seluruh dunia, yang menampung lebih separuh daripada sisa buangan, mencetuskan ancaman persekitaran terbesar iaitu penghasilan gas rumah hijau (GHG), seperti karbon dioksida (CO2) dan metana, yang banyak menyumbang kepada fenomena pemanasan global.

Di Malaysia, berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSN), sekitar 38,000 tan metrik sisa pepejal perbandaran (MSW) dilupus setiap hari, iaitu sebanyak 1.17kg per kapita sehari. Sisa makanan adalah komponen utama dalam sisa pepejal ini, diikuti plastik, kertas, organik campuran dan kayu.

JPSN pada masa ini mempunyai 165 tapak pelupusan sampah, lapan tapak pelupusan sanitari dan tiga tapak pelupusan lengai untuk bahan seperti pasir dan konkit, sebagai hab sisa buangan setakat tahun 2022.

Beberapa agensi dan aktivis alam sekitar, termasuk Alam Flora, Malaysian Green Technology dan Climate Change Corporation dilapor meramalkan tidak ada lagi ruang untuk tapak pelupusan sampah menjelang 2050 sekiranya tiada langkah diambil untuk mengurangkan sisa buangan.

Sudah pasti, pihak berkuasa dan pengendali tapak pelupusan sampah secara aktif sedang mencari penyelesaian untuk mengadakan sistem pelupusan sampah buangan yang lebih mampan.


SISA-KEPADA-TENAGA DI SWEDEN

Bagaimanapun, lain pula kisahnya kaedah pengurusan sisa pepejal di Sweden.

Di negara ketiga terbesar Kesatuan Eropah (EU) ini, daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah, MSW dikumpul untuk loji tenaga Sisa Buangan-Kepada-Tenaga (WTE) untuk dibakar sebagai tenaga bagi membekalkan haba, elektrik dan untuk menggerakkan bas.

Sweden bukan sahaja menjimatkan wang dengan menggantikan tenaga fosil dengan sisa buangan bagi menghasilkan tenaga. Negara ini menjana ASD100 juta setahun dengan mengimport sampah dan mengitar semula sisa yang dihasilkan oleh negara lain.

Hakikatnya, Sweden meletakkan sasaran besar untuk menjana 100 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang tahun 2040 dan mencapai matlamat pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2045. Kedua-dua sasaran ini dilaporkan hampir dicapai.

Menurut Agensi Tenaga Sweden (SEA), lebih daripada 90 peratus RE untuk pemanasan wilayah - yang memberi kehangatan kepada persekitaran dalaman serta bekalan air panas - bersumber daripada pembakaran biojisim dan sisa, setakat November 2022.

Melihatkan perkembangan serta kemajuan yang berlaku di Sweden berhubung MWE, sudah tentu banyak yang boleh dipelajari oleh Malaysia.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, sewaktu persidangan Dewan Rakyat pada 20 Mac lepas, Malaysia kini mempuyai sebanyak 25 peratus RE. Malaysia, kata beliau, berada di landasan tepat untuk memperolehi kapasiti tenaga sebanyak 31 peratus daripada RE, menjelang tahun 2025 dan 40 peratus, menjelang tahun 2035.

Malaysia sebelum ini berikrar untuk mengurangkan secara dramatik Gas Rumah Hijau (GHG) menjelang tahun 2030 dan mensasarkan mencapai pelepasan sifar menjelang tahun 2050.


VARTAVERKET

Pada bulan Mei lepas, penulis dan 10 wartawan antarabangsa diundang oleh Internews' Earth Journalism Network dan Swedish Postcode Foundation untuk menghadiri bengkel peralihan tenaga, di samping lawatan lapangan serta menemu bual individu penting dalam industri hijau.

Kami dibawa meninjau operasi loji Stockholm Exergi yang terletak di Vartaverket, sekitar tujuh kilometer dari Stockholm, ibu negara Sweden. Loji berkenaan membakar sisa dari industri produk hutan termasuk ranting dan serpihan kayu untuk menjana tenaga.

(Stockholm Exergi adalah syarikat tenaga Stockholm yang menyediakan perkhidmatan pemanasan, penyejukan, elektrik dan pengurusan sisa buangan.)

Menurut Pengurus Pembangunan Penyelidikan dan Pembangunan Stockholm Exergi, Erik Dahlen, loji CHP berkenaan mempunyai kapasiti menghasilkan sebanyak 1,700 GWh haba dan 750 GWh elektrik setahun, yang mencukupi untuk memanaskan sekitar 190,000 buah pangsapuri bersaiz sederhana dan mengecas 150,000 buah kereta elektrik.

"RE yang dihasilkan di Vartaverket membantu mengurangkan keperluan kuasa fosil di negara Nordik dan Eropah.

"Hakikatnya, Vartaverket adalah juga pusat untuk inovasi dan menguji solusi baharu bagi mengurangkan seterusnya pelepasan serta impak iklim, satu daripadanya, menangkap serta menyimpan karbon tenaga bio (BECCS) yang membantu mengurangkan GHG dalam atmosfera dan menyumbang kepada pelepasan CO2 negatif.

"BECCS berpotensi menangkap sebanyak 800,000 tan CO2 dari serpihan gas setahun, memampatkannya kepada bentuk cecair dan menyuntikkannya ke dalam batu berongga dengan menggunakan tekanan tinggi, lazimnya di bawah dasar laut," katanya.


TIADA SISA BUANGAN KE TAPAK PELUPUSAN SAMPAH

Hasil daripada dasar pengurusan sisa yang cekap, Sweden menjana lebih banyak tenaga daripada sisa berbanding negara lain di Eropah, dengan sebanyak 34 WTE loji kuasa, pada masa ini beroperasi di negara berkenaan dan secara keseluruhannya merawat lebih dua juta metrik tan sisa isi rumah setiap tahun.

Bagaimana caranya syarikat tenaga di negara ini memastikan sisa daripada sektor perhutanan, pulpa serta kertas yang besar, di samping MSW dihantar untuk dibakar bagi menjana tenaga?

Menjawab pertanyaan ini, ketua Penyelidikan dan Pembangunan Stockholm Exergi, Dr Fabian Levihn berkata, satu cara ialah dengan mengharamkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan sampah sejak kerajaan Sweden memperkenalkan peraturan itu pada tahun 2002.

"Bahan api yang dihasilkan daripada sisa dan sisa industri perhutanan dihantar ke Vartaverket, sebahagian besarnya dengan kapal dan kereta api.

"Untuk sisa pepejal lain dari isi rumah atau industri lain, ia akan diasingkan kepada beberapa kategori seperti sisa makanan, plastik dan dihantar ke loji kuasa WTE yang lain, untuk dibakar dan ditukar menjadi kuasa," katanya.

Beliau menambah, terdapat sebuah loji biogas yang khusus untuk sisa makanan terletak di Skelleftea iaitu Loji Rawatan Air Sisa Tuvan Municipal. Loji ini membekalkan biogas untuk menggerakkan bas awam serta memanaskan bangunan kediaman.


POTENSI MALAYSIA SISA-KEPADA-TENAGA

Sebahagian besar kejayaan Sweden dalam mengurangkan sisa tapak pelupusan sampah boleh dikaitkan dengan kadar kitar semula. Antara sisa pepejal dikitar semula dan bahan organik kompos, negara ini mengitar semula hampir separuh daripada apa yang dibuang.

Bagaimanapun di Malaysia, ketika pihak berkuasa serta pengendali secara aktif sedang mencari penyelesaian untuk sistem pembuangan sisa yang mempan, beberapa orang pakar nampak potensi WTE sebagai sebahagian daripada penghasilan RE.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kemudahan WTE boleh membantu usaha Malaysia menjadi negara sifar sisa memandangkan proses sisa yang bersih.

Menyedari perkara ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merancang menubuhkan enam loji WTE di seluruh Malaysia menjelang tahun 2025.

Malaysia pada masa ini mempunyai sebuah loji WTE terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang memulakan operasi pada Jun 2019. Beberapa buah loji untuk tujuan yang sama dijangka dibina di Sungai Udang (Melaka), Bukit Payung (Terengganu), Seelong (Johor), Samling (Selangor) dan Jabor (Pahang).

Inisiatif ini ada disebut dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk tempoh 2021-2025 , sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk mencapai sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

Ketua Makmal Penyelidikan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia Malaysian-Institut Teknologi Antarabangsa Jepun (MJIIT), Prof Dr Mohd Rashid Mohd Yusof berkata, sudah sampai masanya untuk Malaysia menukar kaedah pelupusan sisa pepejalnya kepada teknologi WTE, kerana ia juga sebahagian daripada RE.

Menurut beliau, WTE boleh menjadi pelengkap kepada loji penjanaan kuasa bahan api fosil yang sedia ada.

"Penjanaan sisa semakin meningkat setiap tahun dan untuk itu, WTE akan menjadi penyelesaian terbaik untuk pelupusan sisa di samping penjanan tenaga.

"Berbanding tenaga solar yang memerlukan banyak ruang terbuka dan pengeluaran bahan api hidrogen pula mahal dan tidak ekonomik, WTE adalah pilihan terbaik untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada sasaran RE negara, " beliau memberitahu Bernama dalam temu bual menerusi emel.

Beliau menambah, antara kelebihan WTE adalah tidak melibatkan banyak proses berbanding tenaga solar, lebih selamat dan boleh dipercayai.

WTE juga, kata beliau, boleh beroperasi dalam sebarang keadaan cuaca, boleh mengurangkan jumlah sisa lebih daripada 90 peratus, mengurangkan beban di tapak pelupusan sampah dan menghasilkan sisa yang stabil dan tidak berbau.


BOLEH DIBUAT SERENTAK

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Eco-Ideal Consulting Sdn Bhd (Eco-Ideal), Soon Hun Yang berkata, amalan kitar semula dan WTE boleh diusahakan secara serentak seperti yang dibuktikan kejayaannya di banyak negara maju seperti Denmark, Sweden, Austria, Japan dan Taiwan.

"Secara asasnya, jika kita kitar semula sisa makanan kita secara berasingan, kita boleh mengurangkan isu kelembapan dan menjadikan WTE lebih berdaya maju serta menarik kerana potensi membakar yang tinggi.

"Strategi yang berjaya juga termasuk mengenakan caj lebih tinggi untuk membakar , mengharamkan tapak pelupusan sampah dan menjadikan kitar semula sebagai percuma. Ini akan membuatkan kitar semula sebagai pilihan yang lebih digemari.

"Sebaliknya, jika semua sisa yang boleh dikitar semula dikeluarkan daripada MSW - nilai kalori MSW mungkin terjejas dan perkara ini perlu ditimbangkan secara berhati-hati sewaktu peringkat reka bentuk," katanya.

Soon, yang juga pengurus sisa bertauliah Persatuan Sisa Pepejak Antarabangsa (ISWA) berkata, WTE adalah pilihan teknologi alternatif untuk Malaysia pertimbangkan bagi sisa residual waste, selepas semua usaha meminimumkan sisa dan kitar semula dilaksanakan, terutamanya di kawasan yang padat penduduk.

"Bagaimanapun, sediakan bajet untuk kos awal. Kerajaan juga perlu menyakinkan kumpulan yang menentang WTE untuk menerima WTE sebagai kemudahan rawatan sisa yang moden dan selamat dan tidak mengancam alam sekitar.

"Seperti mana-mana pelaburan infrastruktur yang besar, kajian kejuruteraan dan reka bentuk yang terperinci akan dijalankan bagi menilai konfigurasi terbaik untuk loji berkenaan bagi mencapai keberkesanan kos WTE," katanya.

(Rencana ini dihasilkan dengan sokongan Internews' Earth Journalism Network)

-- BERNAMA