KUALA LUMPUR : Kehadiran dan pengaruh China dilihat semakin meningkat di rantau Asia Tenggara.

Namun, terdapat beberapa faktor yang dipercayai menyebabkan ketidakpercayaan terhadap China.

Menurut Ahli Jawatankuasa Unit Penyelidikan Pengurusan Bencana, Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia (CSIS), Dr Philips Vermonte, antaranya termasuk sisi yang berbeza yang dipamerkan China.

Jelasnya, dua sisi berbeza tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, terutamanya untuk mempertahankan hubungan baik bersama negara berpengaruh lain.

“Kita melihat China memaparkan dua sisi berbeza iaitu kebaikan dengan menyediakan bantuan ekonomi seperti kerangka Belt and Road Initiative (BRI) dan juga sisi asertif yang melihatkan China tidak mahu tunduk terhadap undang-undang yang sudah dimeterai.

“Ia boleh menimbulkan ketidakpercayaan dan kegusaran terutamanya apabila negara-negara lain cuba mempertahankan hubungan diplomatik mereka bersama negara berpengaruh lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi yang membincangkan topik 'Asia Tenggara dibayangi China?' hari ini.

Dalam pada itu, jelas Vermonte, hubungan diplomatik yang kurang sofistikated oleh China antara faktor lain yang turut mempengaruhi ketidakpercayaan terhadap republik itu dan dapat mempengaruhi hubungan baik dengan ASEAN.

“Saya kira China masih belum mencapai hubungan diplomatik yang sofistikated berbanding Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain.

“Namun, dengan posisi ketika ini, dengan kekuatan ekonomi yang luar biasa, saya berpendapat mereka sudah mula untuk menggunakan kuasa tersebut,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, pemimpin ASEAN perlu tegas dalam menyatakan pendirian dan berpegang kepada prinsip yang sudah dimeterai bersama dalam membentuk kerjasama, baik bersama China mahupun negara-negara lain.

Ikuti perbincangan penuh menerusi pautan di bawah;

AWANI Pagi: Asia Tenggara dibayangi China?