Nampaknya syarikat-syarikat pengeluar kereta Jepun juga sedan giat memasang produk mereka dengan peralatan keselematan elektronik yang lebih moden, sepertimana telah agak lama dibuat oleh jenama Eropah. Bukan bermakna ia langsung tidak dibuat selama ini, cuma ia sekarang sudah diaplikasikan kepada lebih banyak model-model.

Ingatkah anda dengan model Legend daripada Honda? Dikhabarkan bahawa generasi terbarunya akan mula dijual di Jepun menjelang akhir tahun ini tetapi berita yang lebih penting untuk kami adalah ia akan dipasang dengan teknologi Honda SENSING, iaitu sistem bantuan pemandu terbaru mereka.

Sebenarnya, kebanyakkan sistem yang merangkumi Honda SENSING sudahpun digunakan oleh jenama premium Honda di Amerika Syarikat, Acura. Model TLX tahun 2015 mereka dilengkapkan dengan ACC, CMBS dan LKAS.

Honda SENSING telah direka untuk membantu pengeluar ini untuk menuju ke objektif sebuah ‘masyarakat sifar kemalangan’ yang diimpikannya. Rancangan ini adalah sebahagian daripada konsep keselamatan global Honda ‘Keselamatan untuk semua’.

Sistem ini terdiri daripada 2 jenis pengesan dengan ciri berbeza; pertama ialah sebuah radar dengan gelombang milimeter yang diletakkan di dalam gril hadapan, dan yang satu lagi adalah sebuah kamera monokular yang dipasang di bahagian atas cermin hadapan. Radar gelombang mikro telah diluaskan skop untuk mengambil kira pejalan kaki yang memang sukar untuk dikesan kerana kadar pantulan yang rendah.

Ketepatan telah ditambah lagi dengan kamera monokular tersebut yang mengesan ciri-ciri dan saiz pejalan kaki sejauh 60 meter daripada kereta.

Dengan penambahbaikan dan ketepatan yang ada, beberapa fungsi baharu telah ditambah kepada sistem bantuan pemandu yang ada seperti PCMS ataupun Pedestrian Collision Mitigation Steering System (sistem pengurangan pelanggaran kepada pejalan kaki). Kemampuan pemprosesan data juga telah ditingkatkan untuk menampung keperluan fungsi-fungsi tambahan ini.

Sistem Honda SENSING juga bukan sahaja ‘menyedari’ tentang kawasan sekitarnya, tetapi rancangan pemandu dan keadaan kenderaan. Ia mampu untuk berkongsi tugas dengan pemandu ke atas beberapa komponen seperti stereng dan sistem brek. Sebagai contoh, sistem akan membantu sewaktu pemanduan biasa dengan kelajuan kenderaan dan jaraknya ke kereta di hadapan (termasuk kawalan di dalam lorong sebetulnya). Tetapi bantuan bertambah untuk mengelak pelanggaran dikala kecemasan.

Selain daripada PCMS, Honda SENSING juga terdiri daripada (1) Collision Mitigation Braking System (CMBS), (2) Road Departure Mitigation (RDM) system, (3) Lane Keeping Assist System (LKAS), (4) Adaptive Cruise Control (ACC), (5) Traffic Sign Recognition, (6) False Start Prevention Function dan (7) Lead Car Departure Notification System.
  1. Radar dan kamera akan mengesan kenderaan dan pejalan kaki di hadapan; jika ada kemungkinan pelanggaran akan berlaku sistem akan memberi amaran secara audio dan visual. Jika jarak menjadi lebih dekat, brek akan berfungsi secara automatik sebagai rangsangan kepada pemandu untuk berhenti. Jika jarak menjadi lebih dekat, brek akan digunakan dengan lebih untuk membantu mengelak pelanggaran. Jika pemandu masuk ke lorong lain dan berkemungkinan akan melanggar kereta dari arah bertentangan, CMBS akan memberi amaran audio dan visual, serta menggetarkan stereng untuk meggalak pemandu mengelak. Jika tiada tindakan dibuat, brek akan digunakan dengan maksimum untuk mengurangkan impak.
  2. Kamera monokular akan mengesan sempadan jalan dan jika kenderaan dilihat tersasar, amaran visual akan diberikan serta stereng akan bergetar. Sistem juga akan memperbetulkan arah pemanduan dengan sedikit putaran stereng secara automatik. Jika arah sudah tersasar jauh, daya brek akan digunakan untuk mengelak tersasar ke luar jalan.
  3. Akan cuba memastikan kenderaan sentiasa di lorong yang betul berdasarkan imej daripada kamera monokular. Stereng akan mendapat bantuan daripada sistem ini untuk mengurangkan beban kepada pemandu. Stereng akan bergetar jika kereta diarah keluar daripada lorong. LKAS hanya berfungsi bermula dari kelajuan 65km/sj ke atas.
  4. Mengesan jarak daripada kenderaan di hadapan. Brek dan pendikit akan digunakan secara automatik untuk mengekalkan jarak ini. Sistem berfungsi sehinggalah kelajuan sifar, sesuai ketika kesesakan berat.
  5. Kamera akan mengesan dan membaca petunjuk trafik dan mempamerkannya pada skrin pelbagai maklumat atau skrin heads-up.
  6. Jika ada objek atau kenderaan di hadapan ketika kelajuan rendah atau tidak bergerak, pemandu tidak akan dapat untuk memecut laju. Amaran turut akan diberikan secara audio dan visual. Pedal pendikit juga akan bergetar.
  7. Dalam keadaan kesesakan terhenti-henti, radar akan memberi amaran secara visual dan audio kepada pemandu apabila kenderaan hadapan mula bergerak.