PUTRAJAYA: Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bukan mekanisme untuk menghukum pengurusan tertinggi penjawat awam yang gagal mencapai merit ditetapkan.
Sebaliknya, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa sistem itu bertujuan menambah baik kepimpinan dalam kalangan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Menurut beliau, DEEP merupakan antara mekanisme di bawah agenda reformasi perkhidmatan awam bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Seperti yang saya maklumkan dahulu, DEEP ini bukanlah untuk menghukum, tetapi untuk menambah baik kepimpinan pengurusan tertinggi penjawat awam.
“Jadi, itu perlu dibetulkan sebab DEEP ini adalah salah satu daripada mekanisme agenda reformasi perkhidmatan awam.
“Ia digunakan untuk menambah baik perkhidmatan dan bukan untuk menghukum,” katanya yang turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menganalisis keputusan penuh penilaian DEEP bagi suku kedua tahun ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Seminar AI Sektor Awam 2026 di Putrajaya pada Khamis.
Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta meneliti semula wajaran penilaian menerusi DEEP bagi jawatan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.
Shamsul Azri berkata langkah itu bagi memastikan sistem penilaian prestasi pegawai pengurusan tertinggi perkhidmatan awam kekal holistik, relevan dan mencerminkan dinamika cabaran pentadbiran semasa.