KUALA LUMPUR: Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta (PPP) dijangka diguna pakai di seluruh negara selewat-lewatnya pada 2024.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem itu akan diperluaskan ke beberapa negeri lain selepas pelaksanaannya menunjukkan kejayaan di Kuala Lumpur dan Perak.

Ia dijangka diguna pakai di Putrajaya, Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis serta Kelantan.

Menurutnya, Sistem e-tanah yang bermula pada 2017 telah meningkatkan kualiti, kecekapan pentadbiran tanah di Kuala Lumpur.

"Semasa peringkat awal pandemik COVID-19 melanda negara pada 2020, kita menyaksikan Sistem e-Tanah, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara atas talian dengan cekap dan selamat.

"Berdasarkan kejayaan tersebut, Sistem e-Tanah secara PPP ini diperluaskan pula ke Perak dan telah mula digunapakai pada Februari 2021.

"Sistem e-Tanah Negeri Perak juga telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan telah dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk pelaksanaan urusan pentadbiran tanah," katanya ketika menyampaikan ucapan Sempena Hari Tanah Negara 2021 secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata, difahamkan perjanjian konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, inisiatif melibatkan kolaborasi antara kerajaan persekutuan, negeri dan syarikat swasta itu bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah.

Justeru, beliau percaya pelaksanaan Sistem e-Tanah akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara disamping meningkatkan hasil kepada kerajaan-kerajaan Negeri.

Tambahnya, Sistem e-Tanah turut meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada 2018 melalui pencapaian Gold Award Public Sector di Asean ICT Award 2018 yang diadakan di Indonesia.

"Menerusi Laporan Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, pada 2020 Malaysia berada di kedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2019.

"Pihak Bank Dunia juga turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan prestasi sektor awam dengan mengeluarkan satu laporan Knowledge and Research pada 2017, The Malaysia Development Experience Series yang bertajuk Enhancing Public Sector Performance: Malaysia’s Experience with Transforming Land Administration untuk dikongsikan bersama negara-negara lain tentang kemajuan Malaysia dalam mentransformasikan pentadbiran tanah," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berharap peluasan Sistem e-Tanah ini akan memberikan impak yang positif dalam meningkatkan lagi produktiviti negara di mata dunia dan seterusnya menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk menambah pelaburan.