KUALA LUMPUR: Dua lagi jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Mekah menjadikan jumlah keseluruhan kematian jemaah bagi musim haji 1447 Hijrah meningkat kepada tujuh orang.
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan kedua-dua jemaah meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan ketika berada di Tanah Suci.
Menurut TH, jemaah pertama merupakan seorang lelaki berusia 64 tahun berasal dari Parit Buntar, Perak yang hadir bersama isterinya untuk menunaikan ibadah haji.
Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital King Faisal pada 19 Mei jam 8.29 malam akibat asma yang teruk.
“Allahyarham merupakan jemaah yang dibawa oleh Syarikat Pengelola Jemaah Haji daripada kumpulan KT79 dan menginap di Al Safwah Hotel di Mekah,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan, hari ini.
Jemaah kedua ialah seorang wanita berusia 66 tahun berasal dari Tawau, Sabah yang hadir bersama suaminya ke Tanah Suci.
Allahyarhamah disahkan meninggal dunia di Hospital Saudi German pada 20 Mei jam 10.50 pagi akibat serangan jantung.
“Allahyarhamah merupakan jemaah daripada kumpulan KT82 yang menginap di Hotel Abraj Al-Tayseer di Mekah,” menurut TH lagi.
TH turut memaklumkan kedua-dua jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas selesai proses dokumentasi sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di Mekah.
Sebelum ini, seramai lima jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia termasuk seorang lelaki yang rebah ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram pada 1 Mei lalu.