Ujian pengesanan COVID-19 dijalankan secara berterusan untuk mengesan kes-kes baharu dalam kalangan komuniti.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, antaranya adalah melalui sistem pemantauan klinikal seperti pengesanan kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) di hospital.

“Pada hari ini, sistem (pemantauan) ini telah mengesan dua kes positif COVID-19 yang merupakan warganegara Malaysia.

“Sehingga 10 Julai 2020, sebanyak 20,897 sampel telah diambil dan sebanyak 79 kes positif COVID-19 didapati positif (iaitu kadar positif adalah 0.38 peratus).

“Kadar positif ini adalah kurang daripada satu peratus bermakna kebolehjangkitan adalah rendah di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menjelaskan, meskipun rendah, sistem pemantauan di Malaysia masih dapat mengesan kes-kes ini kerana ia mempunyai kapasiti dan kapabiliti pengesanan yang baik.

Justeru, petugas kesihatan di sektor awam dan swasta akan terus diberi latihan dan maklumat terkini untuk mengesan serta mengurus kes-kes disyaki COVID-19 misalnya Influenza Like Illness (ILI) dan SARI.

Ia akan mengikut garis panduan terkini yang dibangunkan daripada maklumat terkini pelbagai sumber antarabangsa dan tempatan untuk kegunaan di dalam Malaysia.