Sistem pendidikan negara memerlukan perubahan radikal bagi memastikan ia lebih berkesan, dikagumi dan diidami, kata bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata sistem pendidikan negara hari ini terbukti gagal dalam banyak aspek hingga menyebabkan ia perlu dilihat kembali secara menyeluruh tanpa sebarang prejudis agar ia dapat ditambah baik demi menepati keperluan semasa dan akan datang.

Katanya, sistem pendidikan sedia ada tidak melahirkan insan berilmu yang mampu berfikir dengan berkesan dan cemerlang dalam keadaan yang berbagai, tidak menentu, mencabar dan cepat berubah.

"Hakikatnya ialah sistem pendidikan kita tidak berkesan. Ia adalah kegagalan yang memerlukan perubahan drastik dan radikal.

"Kita gagal dalam penilaian antarabangsa, kita gagal dalam memupuk integrasi kaum, kita gagal dalam
menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.

"Kita juga gagal menguasai komunikasi sehingga kedudukan kita yang dihormati satu waktu dahulu terhakis," kata semasa berucap di majlis penganugerahan ijazah Doktor Kehormat Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Katanya, kelemahan sistem pendidikan negara juga mendapat perhatian dunia dimana Bank Dunia pada akhir Mac 2014 telah melaporkan kebimbangan mereka terhadap mutu pendididkan negara yang rendah.

Selain itu, bekas Presiden Parti Semangat 46 itu turut mendedahkan bahawa penilaian menggunakan International Standard (PISA, TIMSS) meletakkan kita di tahap yang rendah.

"Adalah penting bagi kita menerima penilaian ini dengan terbuka. Dengan cara ini, proses penambahbaikan akan dapat kita laksanakan secepat mungkin dan dengan penuh komitmen.

"Penerimaan hakikat ini juga boleh melicinkan usaha kita memperbaiki falsafah, pelaksanaan, penyampaian serta penerimaan dan penghayatan sistem tersebut," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sistem pendidikan yang baik sepatutnya menyumbang kepada keutuhan integrasi kaum.

Beliau juga berharap, Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 mengambil kira pandangan yang disampaian dengan maksud untuk melaksanakannya.