KUALA LUMPUR: Ketua ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang dikenali sebagai Sittah Annur dibebaskan dengan jaminan polis, pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni  memberitahu,  suspek berusia 39 tahun itu dibebaskan selepas remannya berakhir semalam dan keterangannya selesai diambil.

Menurutnya lagi, polis turut mengenal pasti beberapa individu lagi dipercayai pengikut setia suspek dan mereka akan dipanggil untuk direkodkan keterangan dalam masa terdekat.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mereka adalah antara pengikut Sittah Annur di Facebooknya.

"Sebelum ini, kita reman empat hari pertama dan kemudian sambung.

"Semalam kita dapat arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk memberi jaminan polis sementara menunggu keterangan saksi-saksi lain direkodkan dan keputusan daripada jabatan agama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Basri memberitahu, setakat ini tiada sebarang tangkapan baharu membabitkan kes itu.

"Kita akan teruskan mengenal pasti mereka yang terlibat," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita yang dipercayai pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jalar atau dikenali sebagai Sittah Annuar ditahan berhubung penglibatannya dalam aktiviti ajaran sesat.

Suspek yang bekerja sebagai peniaga dan sudah berumah tangga itu ditahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama.

Dia juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.