TUMPAT: Situasi banjir di Kelantan semakin pulih apabila mangsa banjir menurun kepada 8,107 orang pagi ini berbanding hampir 9,000 yang dicatat semalam.

Bagaimanapun mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas masih lagi tinggi dengan 7,415 orang setakat pagi tadi.

Banjir atau limpahan air Sungai Golok kini memasuki jajahan Tumpat yang menyaksikan empat buah PPS dibuka dan menempatkan hampir 700 mangsa.

Di Rantau Panjang yang sebelum ini lumpuh bagaimanapun telah pulih dengan sebahagian besar mangsa banjir dari daerah berkenaan mulai pulang sejak semalam.

Namun beberapa kampung antaranya Tasek Permai, Bakong, Terasan dan sebagainya masih lagi digenangi air.

Beberapa jalan alternatif di Tumpat dan Pasir Mas juga masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mengadakan lawatan ke PPS SK Gelang Mas di Pasir Mas memaklumkan, sejumlah 2,995 ketua isi rumah mangsa banjir bakal menerima bantuan wang ehsan dan baucer pembelian barangan keperluan rumah berjumlah RM2,500.

BACA: Mangsa banjir akan terima bantuan bernilai hampir RM10,000 - Perdana Menteri

Kerajaan juga bersetuju memberikan baucer atau wang tunai RM1,000 bagi kenderaan yang rosak akibat ditenggelami air.

Di Pasir Mas, sejumlah lima buah rumah rosak atau dihanyutkan sewaktu banjir luar jangka yang melanda baru-baru ini.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dipertanggungjawabkan membina rumah bagi mangsa banjir yang kehilangan rumah.

Banjir | Kerajaan akan bina semula rumah musnah