KUALA LUMPUR:Keadaan di rantau Asia Pasifik (APAC) dijangka lebih baik pada tahun 2021, disokong oleh pemulihan kegiatan ekonomi secara berperingkat berikutan langkah-langkah awal membendung penularan pandemik di beberapa ekonomi Asia, kata Moody's Investors Service.

Dalam satu laporan, Moody's berkata sokongan fiskal dan monetari yang berterusan di kedua-dua pasaran maju dan pesat membangun turut membantu memperbaiki keadaan.

Bagaimanapun, ia maklum langkah sekatan pergerakan semula di beberapa bahagian dunia telah menghentikan pemulihan ekonomi global yang baharu muncul dan menimbulkan ketidakpastian mengenai peningkatan keadaan kredit .

Pegawai Kredit dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Moody's Clara Lau berkata trend penarafan bagi syarikat APAC sangat negatif pada tahun 2020, dengan jumlah tindakan penarafan negatif mencapai paras tertinggi 254 berbanding serendah 30 tindakan positif pada tahun ini.

"Trend penarafan negatif agak mereda pada separuh kedua tahun ini, dengan bahagian penarafan dengan implikasi negatif pada 26 peratus akhir 2020 daripada paras tertinggi 29 peratus pada suku kedua 2020, " kata Lau.

Moody's berkata walaupun trend penarafan negatif akan terus mereda pada tahun 2021, keadaan kredit untuk syarikat APAC akan berbeza mengikut sektor dan wilayah/rantau.

Sementara itu Moody's menjangkakan bank-bank pusat kemungkinan mengekalkan kadar faedah pada tahap yang sangat rendah dan terus menyediakan rangsangan fiskal dan monetari, termasuk program pembelian aset dan kemudahan pinjaman untuk bank meningkatkan pinjaman kepada sektor swasta.

- BERNAMA