Pengurusan Sekolah Kebangsaan Minden Height di George Town, Pulau Pinang mengambil inisiatif tersendiri dalam usaha mengekang penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di kalangan murid-muridnya.

Selain mengedar topeng muka kepada semua murid dan warga sekolah, pendedahan mengenai bahaya HFMD selain mengajar cara mencuci tangan dengan betul turut didedahkan kepada semua murid.

Guru besar Mohd Zubir Mat Zain berkata, inisiatif menganjurkan program 'Minden HFMD Awareness Campaign 2018' oleh pihak sekolah dilaksanakan selepas isu penularan penyakit HFMD semakin membimbangkan di negeri tersebut.

"Untuk kita menangani dan memberi kesedaran kepada murid-murid di SK Minden Height tentang gejala penyakit tangan, kaki dan mulut ini yang kita perlu menyedari tentang bahayanya.

"Kita bimbang penyakti ini boleh menyebabkan proses pembelajaran atau keadaan kesihatan murid-murid kita terganggu.

"Pagi ini kita telah mengedarkan penutup muka dan memberi didikan tentang cara mencuci tangan dengan betul selain memberi pendedahan tentang perlunya berjumpa dengan doktor apabila terdapat tanda-tanda atau simptom penyakit kaki, tangan dan mulut," katanya.

Tambahnya program tersebut turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut.

Sementara itu, Pegawai PPD Timur Laut, Mohamad Abdul Samad berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif pihak sekolah dan berharap sekolah-sekolah lain turut mengambil pendekatan sama.

"Saya harap sekolah-sekolah di sekitar Timur Laut khasnya dapat mengambil tindakan inisiatif terkini dan mematuhi peraturan yang digariskan Pejabat Kesihatan Negeri untuk mencegah penyakit ini daripada menular," katanya.

Sehingga Khamis, empat sekolah di Pulau Pinang terpaksa ditutup sepenuhnya selepas ramai muridnya dijangkiti HFMD.

BACA: Penguatkuasaan terhadap taska, tadika yang mempunyai kes HFMD

Turut ditutup, 14 tadika, dua buah taska dan sebuah pusat jagaan kanak-kanak.