KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang telah dinyahklasifikasi mendedahkan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju menukar reka bentuk kapal tempur pesisir (LCS) daripada SIGMA kepada GOWIND pada 2011.

Persetujuan itu dibuat kurang dua bulan selepas Ahmad Zahid akur dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mahu menggunakan reka bentuk SIGMA dari Belanda.

Menurut laporan itu, selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011, Ahmad Zahid bersetuju dengan pendirian untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda.

Namun, kurang dua bulan dari persetujuan tersebut, iaitu pada 11 Julai 2011 Ahmad Zahid mengubah keputusan dan akur dengan saranan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dengan memilih reka bentuk GOWIND dari Perancis.

Ahmad Zahid menukar pendirian itu hanya dua hari selepas mendapat surat daripada BNS pada 8 Julai 2011 yang mengesyorkan pemilihan reka bentuk GOWIND, sebelum BNS mengeluarkan surat niat kepada syarikat subkontraktor Perancis, DCNS pada 13 Julai 2011 untuk memulakan proses reka bentuk konsep dan penilian reka bentuk.

"Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, mempertahankan pendirian dan konsisten memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda dalam pembinaan LCS.

"Ini jelas diperlihatkan dalam surat Panglima Tentera Laut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos 2011 dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 September 2011," jelas laporan itu.

Susulan itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pengeluaran surat setuju terima (SST) yang menetapkan syarat reka bentuk GOWIND dan sistem pengurusan tempur (CMS) jenama SETIS serta 17 peralatan dan sub sistem.

MOF kemudian meluluskan pengeluaran SST kepada BNS pada 15 Disember 2011 dengan had bumbung kontrak RM9 bilion.

Susulan itu, Mindef memohon MOF membuat bayaran pendahuluan RM1.8 bilion atau 20 peratus daripada had bumbung kontrak dengan RM500 juta didahulukan pada 2011 dan baki bayaran pendahuluan itu diselesaikan pada 2012.

Bagaimanapun, MOF pada 21 Disember 2011 hanya bersetuju meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta kepada BNS.

Laporan JKSTUPKK mendedahkan, nilai bayaran pendahuluan dalam SST dipinda dua kali, dengan bayaran pendahuluan kedua ditambah kepada RM700 juta pada 2013, dan bayaran pendahuluan ketiga berjumlah RM170 juta pada 2014 (hanya RM164.9 juta dibayar pada Januari 2014).

"Jumlah keseluruhan bayaran pendahuluan di peringkat SST berjumlah RM1,364,997,803 atau 14.95 peratus daripada nilai kontrak," katanya.