MALAYSIA
Skandal Lebuh Raya MEX II: Abu Sahid dituduh pecah amanah RM313 juta, AMLA RM139 juta

Abu Sahid berkemeja putih hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadapi 17 pertuduhan bawah pengubahan wang haram lebih RM313 juta, sejak 2016 lalu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Tan Sri Abu Sahid Mohamed didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berhubung cadangan projek pembinaan lebuh raya MEX II.
Ringkasan AI
- Tan Sri Abu Sahid Mohamed mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah lebih RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berkaitan projek Lebuhraya MEX II.
- SPRM menyita aset bernilai RM32 juta, termasuk barangan mewah dan wang tunai, serta menemui stor simpanan minuman keras bernilai RM3 juta yang dipercayai berkaitan aktiviti haram.
- Semua aset disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLA 2001, menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik SPRM.
Abu Sahid didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah iaitu sebagai pengarah syarikat Maju Holdings Sdn Bhd diamanahkan dengan penguasaan wang milik Maju Holdings dalam akaun bank, telah melakukan pecah amanah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berjumlah lebih RM313 juta di sebuah bank di Bukit Tunku, Taman Tunku di sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10 membabitkan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM116,449,536.12 daripada akaun bank miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa telah melupuskan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 17 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018.
Abu Sahid didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, isteri kepada Abu Sahid, Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan telah menerima hasil daripada aktiviti haram berupa wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 Nov 2017 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bekas pengarah syarikat pembinaan lebuh raya Datuk Yap Wee Leong, 68, didakwa atas 17 pertuduhan telah dengan secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen dokumen untuk kerja-kerja projek "Proposed Lebuhraya Putrajaya To KLIA (MEX II) Commencing From Putrajaya Interchanged And Terminating At KLIA For Maju Holdings Sdn Bhd" berjumlah RM314.48 juta.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah pejabat di Maju Tower, Jalan Sultan Ismail antara Jun 2017 hingga April 2018 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Noor Azrina dan Yap masing-masing diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Abdul Hakeem Aiman.
Mahkamah membenarkan Nor Azrina diikat jamin RM500,000 dan jaminan RM1 juta terhadap Yap dengan seorang penjamin setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Hakim Rosli menetapkan 3 Nov untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami